Selcat bakal bentang penyata lengkap Taman Air Manis

 Ng Suee Lim
Ng Suee Lim
A
A
A

SHAH ALAM - Projek pembangunan bersepadu Taman Air Manis akan dimasukkan dalam mesyuarat terdekat oleh Jawatan Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, satu penyata akan dibentangkan dalam persidangan Dewan pada akhir Julai ini jika ia sempat disiapkan.

"Selcat akan membuat penyata lengkap yang mengandungi penemuan isu secara keseluruhan, punca kelemahan dan syor serta cadangan terhadap isu terbabit, ia bagi memastikan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan yang lain berjalan dengan telus dan berintegriti.

"Inilah cara dan prosedur Selcat mengendalikan pendengaran awam, tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk merealisasikan praktis semak dan imbang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pendengaran awam berhubung isu itu di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata, rumusan awal Selcat mendapati antara sebab kelewatan pergerakan projek terbabit berpunca daripada kelemahan merancang dan cadangan awal pembangunan yang tidak dibuat dengan teliti.

Perancangan asal pembangunan terbabit adalah berasaskan konsep pembangunan bersepadu, merangkumi Rumah Selangorku serta mempunyai kedai pejabat, stesen minyak dan pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Artikel Berkaitan:

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada Selcat berhubung projek terbabit berikutan tiada gerak kerja dijalankan sejak pecah tanah pada 2013.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!