Sektor ekonomi digital teras utama jayakan kerangka Ekonomi Madani

Fahmi menjawab pertanyaan media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
Fahmi menjawab pertanyaan media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sektor ekonomi digital merupakan teras utama dalam menjayakan kerangka Ekonomi Madani kerana ia merupakan antara sektor terpenting dalam perkembangan ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini pada Isnin, beliau berkata, pelaburan dalam ekonomi digital negara menunjukkan pertumbuhan iaitu hampir RM24 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding RM7.5 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

"Saya difahamkan dalam masa terdekat ada beberapa pengumuman pelaburan tambahan.

"Sektor ekonomi digital akan menjadi antara sektor terpenting. Itu sebab kenapa Perdana Menteri sebut tentang digitalisasi, kesalinghubungan serta menyelesaikan beberapa masalah asas untuk rakyat,” katanya.

Ekonomi Madani:Memperkasa Rakyat merupakan kerangka ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lepas, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Ia adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, aspek prasarana komunikasi, keselamatan siber dan ekonomi digital amat penting serta perlu dipertingkat bagi menjayakan sektor ekonomi digital.

"Malaysia sebagai negara yang jauh ke depan faham, pentadbiran faham, (bahawa) tiang seri utama adalah ekonomi digital serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya serta menegaskan bahawa kerangka Ekonomi Madani penting untuk membawa perubahan kepada negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!