Perak rekod dua kes strok haba, satu kematian

Sivanesan
Sivanesan
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan dua kes strok haba dengan satu kematian berikutan cuaca panas yang melanda negara bermula Mei lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, kedua-dua kes melibatkan anggota tentera dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dilaporkan pada 4 Mei dan 4 Julai lepas.

"Kes pertama adalah lelaki berusia 20 tahun yang dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selepas tidak sedarkan diri ketika berjoging.

"Apabila pesakit stabil, kes dipindahkan ke Hospital Melaka pada 26 Mei lalu," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kes kedua pula melibatkan kematian seorang anggota PGA berusia 21 tahun yang rebah ketika mengikuti latihan di Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, bulan lalu.

"Kes dibawa ke HRPB dan hasil siasatan mengesahkan punca kematian adalah strok haba," katanya.

Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengambil pendekatan awal dengan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Darat dan PGA bagi mengelak kes sama berulang.

Katanya, mereka dinasihatkan untuk menugaskan seorang doktor di lapangan sepertimana prosedur ketenteraan selain menyediakan air dan rehat mencukupi semasa latihan.

"Kita minta semua pihak untuk sentiasa berwaspada sepanjang tempoh cuaca panas ini memandangkan Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga September depan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota PGA, Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam yang melapor diri sebagai peserta kursus latihan mengalami kekejangan secara tiba-tiba dan rebah dipercayai akibat strok haba.

Allahyarham berpangkat konstabel sempat dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan termasuk bantuan pernafasan, namun disahkan meninggal dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!