Gabungan PH-BN akan perkukuh Kerajaan Pulau Pinang

Shaik Hussein (kiri) menyantuni masyarakat di Masjid Merbau Kudong ketika siri kempennya untuk pilihan raya negeri pada Isnin.
Shaik Hussein (kiri) menyantuni masyarakat di Masjid Merbau Kudong ketika siri kempennya untuk pilihan raya negeri pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang di bawah Kerajaan Perpaduan diyakini akan menjadi lebih baik dalam menangani masalah rakyat di negeri ini.

Calon BN Sungai Dua, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata, walaupun sebelum ini, UMNO Pulau Pinang sering bertelagah dengan DAP, ia tidak memberi masalah kepada kedua-dua parti itu untuk duduk semeja.

Menurutnya, hubungan PH dan BN di Pulau Pinang tiada masalah malah sentiasa berhubung untuk berbincang dalam menangani masalah rakyat.

"Sebenarnya berada di dalam PH terutamanya di Pulau Pinang adalah lebih baik. Mula-mula memang kekok sedikit tetapi kita sudah lapan bulan bersama. Kita pun sudah bermesyuarat dengan Ketua Menteri dan kepimpinan negeri.

"Apa yang saya nampak, sebelum ini masalah kita adalah apabila kita duduk di luar (daripada kerajaan negeri), banyak maklumat yang kita tidak tahu. Bagaimanapun, apabila kita duduk sekali, baru kita tahu maklumat yang sebenar.

"Kita juga boleh duduk sekali dan berbincang jika ada perkara yang tidak setuju malah kita boleh buat pengubahsuaian dan mereka pun faham apa yang orang Melayu dan rakyat mahu sebenarnya," katanya ketika ditemui di Masjid Merbau Kudong, Sungai Dua di sini pada Isnin.

Shaik Hussein yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang berkata, bagi memastikan suara orang Melayu sentiasa didengari, BN terutamanya UMNO perlu berada di dalam kerajaan negeri.

"Kawasan Sungai Dua ini 82 peratus orang Melayu, saya sekarang kena jadi suara Kerajaan Madani untuk orang Melayu dan juga orang bukan Melayu. Sekurang-kurangnya kerajaan negeri akan faham apa yang orang Melayu mahu.

"Oleh itu, bagi memastikan bahawa suara ini berterusan, kami (UMNO) perku ada dalam kerajaan negeri. Jadi apa yang saya nampak, sebenarnya lebih bagus kerana kami (DAP dan UMNO) dah boleh duduk sekali," katanya.

Kata Ketua UMNO Bahagian Bagan itu lagi, kerjasama DAP dan UMNO di Pulau Pinang diibaratkan satu gabungan terbaik untuk rakyat di negeri ini.

"Sebenarnya BN tak ada masalah untuk bercampur dengan bangsa-bangsa lain malah kita ada MIC dan MCA. Memang benar UMNO lama bermusuh dengan DAP tetapi sekarang kita sudah mula faham.

"Secara profesional, kita akan beritahu apa dasar-dasar kita malah boleh kata hampir tiap-tiap bulan kita ada mesyuarat dengan Chow Kon Yeow selaku Pengerusi PH Pulau Pinang untuk membincangkan bagaimana mahu tangani isu-isu yang dibangkitkan.

"BN, parti majoriti Melayu duduk dengan DAP, majoriti orang Cina, the best of Malays and the best of Chinese duduk untuk berbincang masalah negeri. Saya tak nampak itu satu masalah," katanya.

Mengulas mengenai siri kempennya, Shaik Hussein berkata, penerimaan penduduk Dun Sungai Dua terhadapnya amat baik.

"Saya berjaya habiskan lawatan di kebanyakkan kampung-kampung di Sungai Dua pada hari kedua berkempen kerana saya bermula 10 hari awal. Penerimaan bagus malah orang kampung seronok apabila tahu saya yang bertanding di kerusi Sungai Dua.

"Saya berharap agar sokongan yang diberikan ini dizahirkan dalam bentuk undi. Mengenai parti lawan daripada PN, kita tak ada masalah dengan mereka kerana yang bertanding pun, kawan-kawan kita juga.

"Saya tidak akan menggunakan pendekatan menyerang pihak lawan sebaliknya menawarkan apa yang kita boleh beri kepada rakyat," katanya.

Ends

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!