PRK: UMNO Johor utamakan persahabatan dalam Kerajaan Perpaduan
PONTIAN - UMNO Johor memberi keutamaan terhadap hubungan persahabatan dalam Kerajaan Perpaduan yang perlu dihormati dalam membuat sebarang keputusan berhubung kekosongan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, fokus kini diberikan kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang sedang berlangsung.
"Pertamanya, UMNO Johor belum membuat apa-apa keputusan (berhubung PRK) kerana mesyuarat mengenainya pun belum dibuat.
"Kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub baru seminggu, jadi kita belum ada sebarang mesyuarat mengenainya (PRK) kerana kita masih menghormati pemergian arwah.
"Tapi secara dasarnya, pandangan saya secara peribadi sebelum mesyuarat (PRK), kita harus hormati persahabatan dan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian di Benut pada Ahad.
Timbalan Menteri Kewangan I turut menegaskan, hubungan baik antara parti Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan diteruskan di peringkat negeri.
Jumaat lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menjangkakan pertembungan tiga penjuru dihadapi gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Dakwanya, ia susulan status Johor yang tidak melaksanakan konsep Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat kerajaan Persekutuan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 3 Ogos ini, bagi membincangkan mengenai pelaksanaan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.23 malam, 23 Julai lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Salahuddin menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal pada 2018 dan 2022 selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Salahuddin menang majoriti 20,989 undi di Parlimen Pulai.
Salahuddin mengalahkan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Nur Jazlan Mohammed yang memperoleh 23,026 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong pula meraih 14,432 undi.
Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi dan calon BN, Lokman Md Don yang memperoleh 6,062 undi.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!