HRV terbakar, wanita cari rakaman dashcam
TEMERLOH - Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV dipandu seorang juruteknik penapis ais musnah terbakar dipercayai selepas enjin kenderaan itu terkena sebatang besi yang terjatuh dari sebuah lori dalam kejadian pada Jumaat.
Mangsa, Fara Nadila Mo'min, 33, berkata, kejadian berlaku di hadapan surau Kampung Paya Siput dekat Lanchang di sini antara jam 10.45 pagi hinga 10.50 pagi.
"Kejadian berlaku dengan pantas, sebatang besi terjatuh dari sebuah lori kemudiannya hentam enjin kereta yang terus berasap ketika melalui selekoh di tempat kejadian.
"Kemudiannya saya hentikan kenderaan dekat simpang surau untuk telefon orang tunda kereta.
"Tak sampai beberapa minit, ternampak percikan api. Dalam keadaan kelam-kabut saya telefon bomba namun semasa buat panggilan, kereta sudah terbakar, api sudah marak. Saya berlari nak selamatkan barang tapi gagal, kereta sudah mula meletup api kian besar," kata Fara.
Ujar wanita itu lagi, segala barangan berharga terutamanya dokumen penting seperti lesen, geran kereta serta sebuah iPhone dan wang tunai RM6,000 bersama peralatan kerja musnah dalam kejadian tersebut.
"Memang tak sempat selamatkan kerana kejadian berlaku sekelip mata dan kerugian dianggarkan lebih RM100,000 termasuk barangan yang musnah," ujar dia baru dua tahun menggunakan kenderaan tersebut.
Mengakui trauma hingga kini, dia reda kerana selamat dalam kejadian tersebut walaupun mengalami banyak kerugian.
Fara turut memohon kerjasama orang ramai yang memiliki (dashcam) rakaman kamera papan pemuka berkaitan kejadian itu untuk berkongsi maklumat.
"Saya memohon dan mencari rakaman kejadian yang menimpa pada hari tersebut kerana kamera papan pemuka kereta tak dapat diselamatkan, hangus dijilat api," ujar Fara telah membuat laporan polis selain menunggu laporan forensik daripada pihak bomba.
Fara turut membuat hantaran mengenai kejadian dan memohon kerjasama orang ramai di laman Facebook miliknya serta di halaman kumpulan Temerloh pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!