Dr. Soo Wincci berpuasa 16 jam di Sepanyol
MESKIPUN terpaksa menempuh waktu berpuasa yang panjang selama 16 jam di Sepanyol, penyanyi dan pelakon, Dr. Soo Wincci tetap meneruskan amalan berpuasa yang telah dipraktikkan sejak lebih lapan tahun lalu.
Biarpun bukan seorang Muslim, ramai yang sedia maklum pelantun lagu Terus Teranglah ini sering berpuasa setiap kali tiba bulan Ramadan.
Biarpun pada awalnya ramai yang mengganggap tindakan tersebut hanya untuk mencuri perhatian ramai, namun Wincci, 34, telah membuktikan sebaliknya, apabila masih berpuasa dan kini ia sudah memasuki tahun kelapan.
Bukan hanya ketika berada di Malaysia, tetapi amalan itu tetap diteruskan penyanyi tinggi lampai ini meskipun berada di luar negara.
Wincci kini sedang menyambung pengajiannya di Berklee Music of College, Velencia, Sepanyol dalam jurusan Sarjana Muzik, dengan pengkhususan Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi dan bekerja secara sambilan di sana.
Sepanjang Ramadan, bekas Miss Malaysia World 2018 ini sering berkongsi juadahnya berbuka puasa atau sahur pilihan menerusi laman Instagram miliknya.
Rata-rata peminat Wincci meluahkan rasa bangga mereka dan turut memberikan sokongan kepadanya agar terus berpuasa walaupun berdepan dengan cabaran melalui waktu berpuasa yang panjang di sana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!