Pasaran buruh mengukuh, kadar pengangguran menurun - DOSM

Pada 2022 tenaga buruh di Malaysia meningkat 1.4 peratus kepada 16.02 juta orang. - Foto fail/Bernama
Pada 2022 tenaga buruh di Malaysia meningkat 1.4 peratus kepada 16.02 juta orang. - Foto fail/Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasaran buruh terus mengukuh tahun lepas dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.9 peratus dan guna tenaga yang lebih tinggi, menurut Statistik Tahunan Tenaga Buruh Malaysia 2022, dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Isnin.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, persekitaran ekonomi yang positif sepanjang tahun itu membawa kepada situasi tenaga buruh yang menggalakkan susulan lebih banyak peluang pekerjaan dari pelbagai industri telah diwujudkan.

"Pemulihan daripada kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 telah mencapai titik perubahan pada tahun ini, mendorong kepada perubahan positif dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai industri.

"Selain itu, konsep pekerjaan fleksibel dengan bekerja secara jarak jauh dan aturan kerja yang fleksibel telah menjadi satu kelaziman. Ini memberikan lebih fleksibiliti kepada pekerja dan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, kadar pengangguran pada 2022 menurun 0.7 peratus kepada 3.9 peratus daripada 4.6 peratus pada tahun sebelumnya dengan bilangan penganggur berkurang 14 peratus iaitu 630,400 orang berbanding 733,000 pada 2021.

Katanya, tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih tinggi daripada peringkat nasional pada 2022, iaitu Sabah pada 7.5 peratus, Wilayah Persekutuan Labuan (7.2 peratus) dan Perak (4.6 peratus).

Mohd Uzir berkata, pada 2022 tenaga buruh di Malaysia meningkat 1.4 peratus kepada 16.02 juta orang manakala kadar penyertaan tenaga buruh direkodkan pada 69.3 peratus.

Bilangan penduduk bekerja pula adalah seramai 15.39 juta orang iaitu pertambahan 2.2 peratus berbanding 15.06 juta pada 2021, katanya.

Beliau berkata, dari segi status pekerjaan, kategori penduduk bekerja adalah 78.3 peratus merangkumi 12.05 juta penduduk manakala bilangan penduduk bekerja sendiri meliputi 15.1 peratus dengan penglibatan 2.33 juta orang.

Kategori pekerjaan separuh mahir merupakan komposisi terbesar dengan 58.4 peratus atau 8.99 juta orang daripada jumlah guna tenaga, diikuti kategori mahir (29.6 peratus, 4.56 juta) dan kategori berkemahiran rendah pada 12 peratus atau 1.84 juta, katanya.

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh pada 2022 beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan lebih sederhana tahun ini.

"Peningkatan bilangan ketibaan pelancong akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan seiring dengan kedudukan pasaran yang bertambah baik, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

"Berikutan aktiviti ekonomi yang terus berkembang pada tahun 2023, pasaran buruh dijangka kekal stabil,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!