'Mat Kerak' terharu penyokong masih simpan poster kempen PRU14

Mohd Sabri menunjukkan poster kempen pada PRU14 lalu yang masih disimpan oleh penghuni sebuah rumah di Kampung Bukit Kecil, Kuala Terengganu.
Mohd Sabri menunjukkan poster kempen pada PRU14 lalu yang masih disimpan oleh penghuni sebuah rumah di Kampung Bukit Kecil, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang terkenal dengan gelaran 'Mat Kerak' terharu setelah mendapati masih ada posternya yang ditampal pada dinding rumah penduduk walaupun beliau tewas ketika bertanding di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mat Kerak atau nama sebenarnya, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, sokongan kecil sebegitu amat bermakna kepadanya untuk kembali menggalas cabaran bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.

"Saya cukup terharu apabila melihat poster kempen lebih lima tahun lalu masih kekal tertampal di rumah seorang pengundi di Kampung Bukit Kecil ketika sedang berkempen rumah ke rumah penduduk petang semalam.

"Lebih buat saya sebak apabila penghuni rumah berkenaan memberitahu dia tidak akan membuang poster tersebut kerana mahu mengenang jasa baik dan sumbangan saya selama ini," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Pada PRU14 lalu, Mohd Sabri tewas kepada calon Pas iaitu Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dengan majoriti tipis 363 undi menerusi pertandingan tiga penjuru di DUN Ladang.

Tengku Hassan ketika itu memperolehi 8,201 undi menewaskan Mohd Sabri (7,838) dan Datuk Zulkifli Mohamad dari Parti Keadilan Rakyat memperoleh 2,836 undi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!