Sanusi gagal bentuk keharmonian dalam Pas, PN - Mahfuz

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor gagal selepas dua bekas pemimpin Pas di Langkawi bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menurutnya, keharmonian yang diuar-uarkan dalam PN sebelum ini sebenarnya tidak berlaku kerana dua bekas pemimpin Pas di pulau itu tidak bersetuju pemilihan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), untuk mewakili PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan Kuah.

"Bukan saja di Langkawi, malah di Kota Siputeh pun Ketua Bersatu Jerlun bertanding sebagai calon Bebas setelah tidak puas hati dengan calon dipilih PN.

"Maka, jelas sekali bahawa Muhammad Sanusi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan PN gagal memastikan keharmonian dalam gabungan tersebut di negeri sendiri.

"Semua ini menunjukkan pergolakan dalaman PN dan kegagalan Muhammad Sanusi dalam membuat rundingan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi Pilihan Raya PH DUN Alor Mengkudu dekat sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan bekas Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad bertanding di kerusi DUN Kuah dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie bertanding di DUN Ayer Hangat sebagai calon Bebas.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Pas juga berdepan masalah dalam PN setelah Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dinamakan sebagai calon di Bayan Lepas.

Jelasnya, tanggapan Muhammad Sanusi sebelum ini mendakwa kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) akan terlerai menjelang pengagihan kerusi PRN adalah meleset.

Dakwanya, beliau percaya terdapat dalam kalangan pemimpin Pas di peringkat pusat memberi lampu hijau kepada kepimpinan Pas di Langkawi untuk bertanding sebagai calon Bebas.

"Kepimpinan parti (pusat) tidak mengambil tindakan kerana mereka tahu jika hukuman dikenakan, itu hanya akan mengundang kemarahan ahli-ahli parti. Jadi tiada tindakan diambil atau 'suara keras' dikeluarkan terhadap individu yang bertanding Bebas di Langkawi itu," ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!