Syria, China uji taring Harimau Malaya

Harimau Malaya akan menentang Syria dan China pada September.
Harimau Malaya akan menentang Syria dan China pada September.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya bakal mengasah taring bertemu Syria dan China dalam aksi persahabatan Tier 1 pada September depan yang akan diadakan di Chengdu, China.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung pada 6 dan 9 September yang menjadi salah satu rangka persiapan bagi menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

"Pengesahan bagi kedua-dua perlawanan ini dibuat menerusi penelitian dan perbincangan antara pihak pengurusan bersama Kim Pan-gon sendiri selepas majlis undian pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Khamis lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Berdasarkan ranking FIFA terbaharu yang dikemas kini pada 20 Julai lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-136 dunia, sementara Syria di kedudukan ke-94 dunia dan China di kedudukan ke-80 dunia.

Pengesahan oleh FAM itu juga menyaksikan spekulasi skuad negara akan berdepan Mesir selepas dikatakan perbincangan sudah dilakukan membabitkan pasukan itu tidak menjadi kenyataan.

Dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan D bersama bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang antara Taiwan atau Timor Leste.

Untuk rekod, Oman kini berada di tangga ke-73 dunia dan Kyrgyzstan di kedudukan ke-97, manakala Taiwan (153) dan Timor Leste (192).

Selepas aksi persahabatan antarabangsa pada September, Harimau Malaya akan mengharungi Pestabola Merdeka dalam pertembungan empat penjuru menentang Palestin, Lubnan dan India.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!