Mohamad Zaidi nafi calon luar, anak jati Sabak Bernam

Mohamad Zaidi menziarahi nenek saudaranya di Kampung Sepintas di Sabak Bernam pada Isnin.
Mohamad Zaidi menziarahi nenek saudaranya di Kampung Sepintas di Sabak Bernam pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Zaidi Selamat menolak dakwaan pihak tertentu memainkan sentimen kononnya beliau sebagai calon luar dan tidak sepatutnya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

Mohamad Zaidi sebaliknya memberitahu, beliau anak kelahiran Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan yang merupakan salah satu kawasan di daerah Sabak Bernam.

Malah, tegasnya, isu calon luar juga tidak timbul kerana beliau juga mencurah khidmat bakti sebagai pendidik di daerah sama dan pernah bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam.

"Sekinchan masih lagi dalam daerah ini dan tidak sepatutnya menjadi isu bertanding kerana saya bukan dari daerah atau negeri lain," katanya ketika ditemui selepas menziarahi nenek saudaranya di Kampung Sepintas di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai persediaan jentera, Mohamad Zaidi memberitahu, semua jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kini giat menjalankan kempen bertemu dan meyakinkan pengundi.

Ujar beliau, ketika ini beliau mengandaikan keseluruhan jentera sudah pun memasuki 'gear' empat di DUN tersebut.

"Setakat hari ini sahaja, saya dan jentera sudah menyantuni lebih 100 rumah penduduk dalam menyampaikan hasrat dan visi kita.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan fokus kita adalah memenangkan calon PN dalam pilihan raya kali ini," ujar beliau.

Sinar Harian pada 27 Julai lalu melaporkan, Bersatu Bahagian Sabak Bernam sebulat suara membantah Mohamad Zaidi yang disifatkan sebagai calon luar.

Ketuanya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, hasil mesyuarat bersama peringkat cawangan Bersatu pada malam Khamis mengambil keputusan menolak pencalonan Mohamad Zaidi.

PRN kali ini menyaksikan Mohamad Zaidi menentang penyandang kerusi DUN itu, Datuk Rizam Ismail daripada Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Rizam memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,440 undi selepas menewaskan calon Pas, Zamri Yahya dan Mohd Hamizar Sulaiman (Bersatu).

Rizam meraih 5,437 undi menewaskan Zamri yang memperoleh 3,997 undi dan Mohd Hamizar mendapat 3,921 undi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!