Berang disimbah air, Cardi B baling mikrofon
PENYANYI rap, Cardi B mencampakkan mikrofon ke arah penonton apabila berang disimbah air oleh oleh seorang individu ketika mengadakan persembahan di Drai’s Beach Club, Las Vegas baru-baru ini.
Menerusi video yang kini tular di media sosial, insiden tersebut berlaku secara tiba-tiba ketika Cardi, 31, menghiburkan penonton dengan lagu hitsnya, Bodak Yellow.
Bertindak balas dengan perlakuan biadab penonton terbabit, Cardi tidak menunggu lama untuk memberi pengajaran dan menunjukkan kemarahannya sebelum anggota keselamatan datang menenangkan keadaan.
Insiden tersebut mendapat perhatian warga maya yang rata-ratanya bersetuju dengan tindakan dilakukan penyanyi asal Amerika Syarikat itu demi keselamatannya.
Mereka juga menyifatkan Cardi sebagai seorang yang berani dan tidak memberi muka kepada mana-mana individu yang bersikap biadab sehingga memberi risiko kepada keselamatan orang lain.
Apatah lagi sejak akhir-akhirnya insiden sedemikian kerap berlaku kepada beberapa artis yang sedang membuat persembahan sehingga memberi risiko kepada keselamatan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!