Penduduk lega projek pintu air hampir siap
RANTAU PANJANG - Penduduk yang terkesan dengan banjir di sini menarik nafas lega dan berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan apabila pembinaan pintu air bagi projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok sudah hampir siap.
Rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa gembira dan menyifatkan pintu air itu akan memberi sinar baharu buat mereka dalam berdepan banjir musim tengkujuh nanti.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd Ariffin Ismail merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang bertindak pantas menyelesaikan masalah ini secara tuntas.
"Kami berjumpa dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad Disember tahun lalu.
"Awal Januari tahun ini beliau datang untuk melihat sendiri penderitaan yang dihadapi oleh penduduk di sini," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Menurut dia, pada Februari bajet untuk membina pintu air sudah diluluskan dan kerja-kerja terus berjalan.
Ujarnya, pembinaan projek itu sudah 85 peratus siap dan sekarang ini proses meletakkan batu bagi mengelak hakisan berlaku.
Mohd Ariffin memberitahu, pembinaan pintu air dijangka mampu mengurangkan kesan banjir yang disifatkan buruk setiap kali berlaku.
Bagi Haris Mahmod, 47, berkata, dengan adanya pintu air itu dapat mengatasi kemusnahan yang dialami penduduk setiap kali musim tengkujuh.
"Kita sedia maklum kawasan ini sentiasa berisiko banjir tetapi sekurang-kurangnya ia tidak memerlukan penduduk berpindah dan air tidak menenggelamkan bumbung rumah.
"Pintu air yang siap ini di Pengkalan Teluk, kami berharap dua lagi pintu air akan dibina iaitu di Serongga dan Tersang," ujarnya.
Menurut dia, jika ada tiga pintu air dijangka penduduk di sini akan bebas daripada banjir.
Surani Daud, 41, berkata, apabila melihat pintu air sudah hampir siap dia tidak dapat menahan sebak dan rasa bersyukur.
Tambah dia, musim tengkujung berbaki tiga bulan lagi akan dilalui tanpa rasa takut dan gusar.
"Perit dan trauma bila ingat kembali banjir yang berlaku hujung tahun lalu dan sebeluMnya.
"Terima kasih Kerajaan Perpaduan, terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendengar luahan kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!