Pelaburan Personal Banc: 13 laporan diterima, kerugian RM8.5 juta

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 13 laporan diterima melibatkan skim pelaburan Personal Banc dengan mencatatkan kerugian mencecah RM8.5 juta sejak akhir Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua mangsa membuat laporan selepas mereka gagal menerima pulangan yang dijanjikan.

"Siasatan mendapati jumlah kerugian tertinggi berjumlah RM3.2 juta manakala kerugian paling sedikit RM50,000.

"Setakat ini lima laporan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dengan nilai kerugian RM4.1 juta, IPD Cheras (tiga laporan) dengan kerugian RM800,000, IPD Wangsa Maju (tiga laporan) kerugian RM2.9 juta, IPD Brickfields (satu laporan) dan IPD Putrajaya (satu laporan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati kebanyakan mangsa terperdaya setelah melihat iklan tersebut menerusi media sosial.

"Kebanyakan mangsa mendakwa ditawarkan dengan dividen 20 hingga 30 peratus sebulan bagi setiap pelaburan pokok.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari tertipu sebaik tidak menerima pulangan sebagaimana yang ditawarkan sebelum membuat laporan kepada polis," katanya.

Menurutnya, usaha mengesan suspek terlibat dalam kegiatan pelaburan terbabit sedang dijalankan.

"Orang ramai yang menjadi mangsa skim pelaburan ini diminta segera tampil membuat laporan polis bagi memastikan tindakan susulan dijalankan," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan iklan menerusi medium media sosial, sebaliknya membuat semakan teliti terlebih dahulu dan mendapatkan kepastian pihak berkaitan sebelum mengambil tindakan menyertai sesuatu skim pelaburan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!