Terlalu yakin menang boleh makan diri - Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA PILAH - Ahli Barisan Nasional (BN) perlu mengganggap parti sebagai 'underdog' (bukan pilihan) pada pilihan raya negeri (PRN) bagi memastikan jentera akar umbi terus bekerja kuat di lapangan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sifat terlalu yakin mampu menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh memakan diri yang akhirnya menyebabkan kekalahan parti.

"Kadang-kadang kalau kita terlampau yakin (contoh) ada 10 orang pengundi yang patut kita pergi (santuni) tetapi sebab rasa 10 undi tidak jejaskan kemenangan, akhirnya parti kalah.

"Ini pernah berlaku di Parlimen Pekan kalau tidak silap saya, ada satu perkampungan Orang Asli ada lima pengundi, dan kita kata takkan mereka boleh buat parti kalah, namun akhirnya memang kita kalah lima undi.

"Sebab itu saya kata, biar perlu rasa kita 'underdog' supaya jentera bekerja dengan lebih kuat untuk pastikan kemenangan," katanya ketika ditemui selepas Program Sepetang Bersama Calon DUN Johol pada Isnin.

Terdahulu beliau hadir ke DUN Johol bagi mengikuti jelajah mesra calon BN, Saiful Yazan di sekitar Ayer Mawang.

Sementara itu ditanya mengenai ramalan keputusan PRN bagi enam negeri, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera bagaimanapun enggan menyatakan sebarang jangkaan.

"Saya tidak mahu meramal apa-apa, kalau kata 5-1 nanti, mungkin 'demoralize' (melemahkan semangat) jentera kita dan (menyebabkan) jentera mereka (pembangkang) lebih bersemangat, jadi ada pro dan kontra," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Perikatan Nasional (PN) menang mudah 5-1 pada PRN enam negeri, 12 Ogos ini.

Ramalan Pengerusi Prolamasi Orang Melayu (POM) itu berdasarkan perubahan sentimen yang diperlihatkan dalam kalangan pengundi warga emas, khususnya orang Melayu di luar bandar.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!