Orang UMNO jangan serang parti, serang musuh - Ismail Sabri
KUALA PILAH - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan ahli UMNO agar tidak mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap kepimpinan parti sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN).
Bekas Naib Presiden UMNO itu menegaskan, sebaliknya serangan perlu ditujukan kepada musuh dan bukannya sesama sendiri dalam pilihan raya.
"Yang penting jangan kita (yang ada) dalam parti, serang parti sendiri, serang pemimpin (sedangkan) kita satu parti.
"Tetapi kerana mungkin dia kem lain, dia serang orang yang bukan kem dia. Akhirnya yang rugi adalah UMNO.
"Orang akan lihat UMNO tak habis-habis bergaduh sesama sendiri. Saya takut perkara ini berlaku," katanya ketika ditemui selepas Program Sepetang Bersama Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman pada Isnin.
Sementara itu ditanya sama ada kemungkinan wujud unsur sabotaj daripada ahli UMNO yang dipecat atau digantung, Ahli Parlimen Bera itu menegaskan, golongan itu berhak untuk lakukan apa sahaja ekoran sudah tidak lagi bersama parti.
Justeru tegasnya, parti tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap mereka ekoran sudah bebas daripada perlembagaan parti.
"Kalau kita tak nak dia berkempen dengan mana-mana parti, jangan pecat, gantung sampai enam tahun dan sebagainya.
"Jangan anggap dia orang UMNO, kenapa serang UMNO. Mereka bukan lagi ahli UMNO. Hak dia nak memilih, dia sudah berada luar (parti)," ujarnya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!