Elaun pelajar ILP perlu dikaji semula - Mustapha

Mustapha mencuba menaiki kenderaan Go-Kart yang dibangunkan pelajar sempena lawatan kerjanya ke Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra pada Isnin. - Foto Bernama
Mustapha mencuba menaiki kenderaan Go-Kart yang dibangunkan pelajar sempena lawatan kerjanya ke Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Terdapat keperluan supaya elaun bulanan pelajar Institut Latihan Perindustrian (IL) dikaji semula bersesuaian dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.

"Saya akan bawa perkara ini ke peringkat kementerian untuk kita buat kajian. Saya fikir sudah tiba masanya untuk dikaji semula.

"Memang betul jugalah dari segi nilai pun sekarang dah jauh berbeza berbanding dulu," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Terdahulu, seorang pelajar ILP Jitra memohon kerajaan mempertimbangkan elaun sebanyak RM100 sebulan itu dinaikkan seiring peningkatan kos sara hidup dalam sesi dialog bersama Mustapha di ILP Jitra sempena lawatan kerja beliau semasa sesi pendaftaran pelajar baharu hari ini.

Sementara itu, Mustapha berkata, pihaknya menggalakkan lebih ramai pelajar tahfiz di daerah Kubang Pasu menyertai Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di ILP Jitra untuk menguasai kemahiran teknikal.

"Kita minta lebih ramai pelajar tahfiz berminat dalam TVET. Kita galakkan mereka untuk daftar di institut latihan TVET supaya anak-anak tahfiz ini bukan sahaja mahir dalam menghafaz Al-Quran tetapi dapat membaiki peralatan elektrikal dan lain-lain di madrasah mereka dan menyertai alam pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 25 pelajar Madrasah Diniah Tok Sara di daerah itu mengikuti Kursus Asas Pendawaian Elektrik dan Kursus Penyelenggaraan Jentera Bajak Satu Silinder manakala 63 pelajar Tahfiz Al Fityan mengambil Kursus Asas Elektronik dan sembilan pelajar Madrasah Ribat Nasrul Muhajirin (Pemasangan dan Penyelenggaraan Pendingin Hawa).

Pada program itu, Mustapha turut meluangkan masa beramah mesra dengan 190 pelajar baharu yang mengikuti kursus bagi sesi 2/2023 di ILP Jitra. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!