Lelaki hilang lima ahli keluarga dalam letupan gudang mercun
NARATHIWAT - "Kebimbangan ayah selama ini jadi kenyataan,” kata Yosdanai Bula yang kehilangan lima ahli keluarga dalam insiden letupan di sebuah gudang penyimpanan mercun dan bunga api di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada Sabtu lepas.
Sukarelawan kampung yang berusia 36 tahun itu berkata, ayahnya, 63, dua adik perempuan, 28 dan 29 tahun serta dua anak saudara berusia empat tahun, serta lapan bulan antara 12 orang yang meninggal dunia dalam tragedi di Mundok, Sungai Kolok pada Sabtu.
"Ayah pernah memberi amaran kepada pemilik gudang supaya tidak menyimpan mercun dan bunga api di gudang itu yang terletak di kawasan kampung tetapi perkara itu tidak dipeduli.
"Ayah bimbang akan berlakunya perkara yang tidak diingini... Kerisauan ayah menjadi kenyataan. Dalam sekelip mata, saya kehilangan lima ahli keluarga tersayang,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah bahawa dua hari sebelum kejadian tiga buah lori dilihat menghantar stok ke gudang.
"Penduduk kampung juga mengambil tindakan membuat laporan polis tetapi tiada tindakan diambil lagi,” katanya.
Berkongsi saat-saat getir, Yosdanai berkata, beliau yang berada kira-kira 500 meter daripada rumah bergegas pulang apabila mendengar letupan kuat.
"Saya hanya sempat menyelamatkan nenek saya. Letupan yang kuat menyebabkan rumah runtuh dan dijilat api,” katanya.
Insiden pada 3.30 petang (waktu tempatan) di Mundok, Sungai Kolok telah meragut nyawa 12 orang dan mencederakan lebih 100 orang.
Selain itu, lebih 200 rumah dan kedai, serta 15 kenderaan musnah. Jumlah kerugian dianggarkan 100 juta baht (sekitar RM13.29 juta).
Siasatan awal mendapati percikan api daripada kerja-kerja kimpalan dipercayai menjadi punca letupan kuat itu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih satu tan mercun dirampas, dikait letupan di Narathiwat
Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden letupan di Narathiwat
Sekurang-kurangnya 10 maut, 110 cedera letupan di Narathiwat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!