Hutang negara tinggi punca kerajaan tidak turun harga minyak - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh melaksanakan penurunan harga minyak ekoran kedudukan kewangan negara tidak sama seperti dahulu yang mana perlu menanggung hutang besar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keadaannya berbeza ketika beliau berkempen menurunkan harga minyak pada 2007 dan 2008 pada waktu hutang negara tidak setinggi sekarang.

Katanya, ketika itu hutang kerajaan tidak sampai RM600 bilion namun sekarang meningkat tiga kali ganda.

"Dahulu, subsidi boleh lagi ditanggung. Jadi keputusan kerajaan terdahulu menaikkan harga minyak secara mendadak memberi kesan kepada inflasi, harga barang naik terutamanya inflasi makanan.

"Sedangkan kita masih lagi ada ruang fiskal yang boleh menanggung subsidi minyak. Hutang boleh lagi ditangani, pendapatan kerajaan masih boleh tanggung harga minyak, sebab itu kita kata tiada keperluan untuk menaikkan harga minyak mendadak," katanya menerusi Twitter pada Isnin.

Jumaat lalu, Rafizi berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai cadangan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel buat masa ini.

Tambah Rafizi, disebabkan formula beliau kempen, harga minyak sekarang tidak naik melonjak.

"Ia adalah dasar daripada kerajaan Pakatan Harapan dahulu dan formula itu dikekalkan sampai sekarang. Bagaimanapun, harga barang makanan bila sudah naik, peniaga susah mahu turunkan.

"Sebab itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata, untuk bantu kesusahan rakyat dengan cara segera, kalau kita menang pilihan raya umum (PRU) pada 2008 minyak akan turun," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!