Parti politik bersifat manipulatif, berunsur sogokan gugat prinsip demokrasi
SHAH ALAM - Tindakan mana-mana parti politik yang bersifat manipulatif dan berunsur sogokan terhadap para pengundi dalam tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) bukan sahaja melanggar peraturan pilihan raya bahkan menggugat prinsip demokrasi.
Rasuah Busters dalam satu kenyataan bersama rakan gabungannya berkata, ahli politik harus bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan berkempen sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, siasatan telus dan terperinci haruslah dibuat ke atas mana-mana pihak menyalahi peruntukan yang termaktub di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau perundangan di Malaysia.
"Ahli-ahli politik diseru untuk bersaing dengan sihat dan tidak meletakkan kepentingan politik serta kemenangan parti sebagai keutamaan dengan menawarkan janji yang merosakkan kredibiliti kepimpinan mereka.
"Sebaliknya, setiap parti dan calon harus kekal fokus kepada menyelesaikan masalah sosio ekonomi jangka panjang yang terpaksa dihadapi oleh rakyat pada waktu ini," jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, dinamik politik negara membuktikan bahawa badan siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bebas menjalankan fungsinya tanpa sebarang pengaruh eksekutif demi memastikan keadilan kepada semua pihak.
"Untuk itu, #RasuahBusters dan gabungannya mengulangi agar reformasi institusi dilaksanakan segera untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen.
"Para pengundi juga diharapkan menjalankan amanah untuk turun mengundi serta membuat pemilihan dengan adil, kritis dan waspada dalam menentukan hala tuju negeri masing-masing,'' ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!