Tangguh dahulu pengumuman berkaitan peruntukan - Penganalisis
SHAH ALAM - Kerajaan disyorkan menangguhkan dahulu apa sahaja pengumuman berkaitan sebarang peruntukan pada musim kempen pilihan raya negeri (PRN) ketika ini supaya ia tidak dilihat sebagai satu taktik politik atau strategi untuk memenangi pilihan raya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sebaik-baiknya dalam keadaan sekarang kerajaan hanya perlu laksana apa yang diluluskan, dirancang dan diumum sebelum ini bagi mengelakkan wujud persepsi tidak baik kepada mereka.
“Situasi politik hari ini adalah politik persepsi, jadi apabila sesuatu perkara gagal beri keyakinan kepada rakyat, maka rakyat akan lihat itu kelemahan, taktik politik atau strategi untuk menang pilihan raya.
“Bila pengumuman (peruntukan) dibuat ketika menjelang PRN, rakyat berpandangan apa yang pernah dilakukan oleh kerajaan pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) seolah-olah diulang kembali pada hari ini walaupun pemimpin-pemimpin UMNO dan BN hanya mempunyai beberapa peratusan dalam kerajaan sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya perlu memberi penerangan secara terperinci tentang setiap peruntukan bagi bantuan dan program terutama dari segi bila ia diluluskan supaya rakyat dan parti-parti politik jelas tentang proses berkenaan agar ia tidak menimbulkan persepsi buruk.
Ditanya sama ada pengumuman itu dilihat sebagai rasuah atau penyalahgunaan kuasa, Mohammad Tawfik berpendapat, ia boleh disahkan sekiranya siasatan dibuat dan kes dibawa ke mahkamah.
“Jika ada laporan daripada mana-mana pihak yang melihat berlaku salah guna kuasa, maka laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis. Kemudian jika ada bukti, kertas pendakwaan dibuka dan diurus di mahkamah. Biar mahkamah tafsirkan berdasarkan undang-undang sedia ada,” ujarnya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!