Penangan 'dunia tipu-tipu'
PENANGAN media sosial memang hebat. Sama ada menggunakan Facebook, Instagram, YouTube, Twitter, TikTok atau Threads, ramai yang berlumba-lumba ingin menjadi pencipta kandungan di media baharu.
Social climber, pempengaruh, cybertrooper atau apa sahaja gelaran diberi, misinya hanya satu iaitu mencetus provokasi tidak kira positif atau negatif yang menarik perhatian umum.
Jika tular, maka naiklah populariti. Jika FYP (for your page) cecah jutaan angka, bukti content capai matlamat. Tidak kiralah content itu benar atau palsu, yang penting trending dan view mencanak tinggi.
Namun, kalau sudah namanya ‘dunia tipu-tipu’ pastinya lebih banyak indah khabar dari rupa. Jangan mudah percaya dengan gambaran yang diberi.
Ada pasangan tunjuk loving di media sosial tetapi hakikatnya berantakan. Ada pamer kaya tetapi dirinya papa dan ada sebar berita yang kononnya betul tetapi palsu.
Di antara mereka, ada pula yang hanya menjadi CCTV, sibuk menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain sendiri atau hal ehwal diri pun tidak dapat dijaga dengan baik.
Kenyataan ini mungkin agak pahit untuk ditelan dan kasar apabila disuarakan, tetapi itulah hakikat yang tidak dapat dinafikan. Dunia ini memang sarat dengan hipokrasi.
Di media sosial, kalau menggunakan filter, muka yang biasa-biasa boleh menjadi rupawan, yang sedia cantik bertukar jelita. Berlumba-lumba untuk dilihat sempurna dalam OOTD walaupun hanya tipu belaka. Itulah klise dunia maya, cuma yang indah-indah kita akan paparkan.
Lebih kurang sama perihal ‘anaconda’ di Elmina dekat Shah Alam. Hanya kerana satu video yang dirakam secara zoom terlalu dekat dan dimuat naik di Twitter, habis semua orang sangka ular gergasi yang menjalar di situ. Apabila disiasat, ular sawa batik biasa rupanya. Warganet cepat betul menyimpul berita hingga kalut Jabatan Netizen Negara dibuatnya.
Perilaku ini membuktikan hasil kajian ‘Kesan Penyebaran Maklumat dan Kesahihannya Dalam Kalangan Pengguna Media Baharu’ oleh Norazlinda Mohammad dan Mohammad Nurhafiz Hassim dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendapati pada era globalisasi, Generasi Y dan Z semakin aktif, menjadi pengguna tegar, bergantung kepada media baharu bukan sahaja mencari bahan maklumat tetapi memperoleh, menerima informasi dan berita disampaikan tanpa mengira pasti sejauh mana kesahihannya.
‘Dunia tipu-tipu’ kini menjadi medan untuk sebar segala hal. Kaedah umpatan melalui improvisasi. Daripada disebar dari mulut ke mulut, sekarang hanya menggunakan jari tanpa perlu berbicara, gosip panas lantas menjadi tular. Spill the tea katanya.
Kesempatan itu juga digunakan orang politik sebagai senjata menyebar aib khususnya menjelang pilihan raya. Bertebaran berita palsu dengan matlamat untuk mengatasi lawan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagaimanapun memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagaimanapun impak positif media sosial tidak boleh diketepikan. Kalau sebelum ini TikTok dilabel negatif kerana content karut-marut, kebelakangan ini platform itu turut mengandungi video bermanfaat dan bukan hanya tarian menggiurkan semata-mata.
Ada memuat naik resipi, kisah duka yang mengundang simpati dan tidak kurang juga berkongsi lawak jenaka. Semakin banyak video FYP yang bermanfaat untuk ditonton.
Kaedah pemasaran Affiliate diperkenalkan TikTok pula memberi peluang kepada penggunanya menambah pendapatan menerusi komisen. Begitu juga platform Marketplace disediakan Facebook untuk menjual barang. Siapa yang cekap memanfaatkan peluang ini pasti terkedepan.
Tidak lupa kuasa viral dan solidariti ditunjukkan warganet. Penangannya berjaya mengangkat Bell Ngasri yang berbakat besar, sebagai terpaling popular dalam dunia hiburan. Ramai lagi individu yang namanya diangkat menerusi media sosial.
Siapa yang mahu menafikan fenomena ‘dunia tipu-tipu’? Akka Nasi Lemak, Abang Viva, Kaswi Gedik atau Donut Peach membuatkan netizen tidak keruan. Begitulah hebatnya penangan ‘dunia tipu-tipu’ yang banyak melekakan namun terselit kebaikan.
Apa pun, guna teknologi biarlah beradab dan bersama-sama kita menjaga jari dari menaip yang aneh-aneh.
*Asmaliza Mansor ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!