Sokongan sekeliling ubat paling mujarab

Berdasarkan informasi daripada ChilTrend.org, satu daripada lima anak muda sering mengalami gangguan psikologi.- Gambar hiasan 123RF.
Berdasarkan informasi daripada ChilTrend.org, satu daripada lima anak muda sering mengalami gangguan psikologi.- Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

BERITA berita tentang isu kemurungan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Bermula dengan kematian penyanyi Hong Kong terkenal, Coco Lee, 48, diikuti dengan pemergian penyanyi pop Ireland yang sudah memeluk Islam, Sinead O'Connor, 56.

O'Connor didakwa meninggal dunia susulan masalah depresi selepas kehilangan anak lelaki kesayangannya awal tahun lalu.

Namun, paling menyentap perasaan adalah kes ibu muda di Pasir Gudang, Johor yang menyerahkan anak yang baru dilahirkan ke pusat penjagaan akibat kemelut sama.

Wanita itu difahamkan sedang mendapatkan rawatan psikiatri bulanan di Hospital Permai, Johor Bahru. Berdasarkan informasi daripada ChilTrend.org, satu daripada lima anak muda sering mengalami gangguan psikologi.

Sementara, data daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia mendapati, 280 juta orang di dunia mengalami kemurungan. Kira-kira 700,000 orang mati akibat bunuh diri setiap tahun.

Lebih 50 peratus terjadi dalam kalangan kaum Hawa dan sekitar 10 peratus wanita hamil serta mereka yang baru melahirkan bayi dihimpit dengan kemelut tersebut.

Meskipun terdapat rawatan berkesan untuk gangguan seumpama itu, lebih daripada 75 peratus rakyat di negara berpendapatan rendah dan sederhana dikatakan tidak menerima rawatan, kata WHO lagi.

Halangan kepada penjagaan yang berkesan, kekurangan pelaburan dalam penjagaan kesihatan minda, penyediaan penjagaan kesihatan terlatih yang masih belum mencukupi dan stigma sosial berkaitan dengan gangguan mental merupakan antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan itu.

Satu fakta penting, kemurungan bukanlah disebabkan oleh kelemahan karakter seseorang, tetapi ia adalah satu penyakit. Ini bermaksud konflik kesihatan itu boleh dirawat.

Masyarakat perlu faham bahawa hidup dengan kondisi depresi menjadi satu hal yang sangat sulit bagi penghidap. Namun, perawatan yang tepat selari dengan tahap kemurungan dapat membantu meningkatkan kualiti hidup golongan itu.

Namun, paling utama adalah sokongan daripada orang sekeliling bermula daripada ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Itulah ubat paling mujarab.

Selain itu, berbaliklah kepada perkara yang paling asas iaitu kepatuhan kepada agama. Ingat, gangguan kejiwaan tidak boleh dicegah, ia adalah krisis kesihatan yang serius dan perlu ditangani segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!