Tukar 16 calon PRN demi masa depan Kelantan - Mohd Amar

Mohd Amar - Foto Sinar Harian
Mohd Amar - Foto Sinar Harian
A
A
A

TANAH MERAH - Kerajaan negeri melaksanakan satu lonjakan besar dengan menukar 16 calon ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempena pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah berkata, perubahan itu merupakan sebahagian taktikal dan strategi yang dilakukan untuk perubahan masa depan Kelantan.

Beliau turut memuji kecemerlangan ADUN sebelum ini yang sudah melakukan usaha terbaik di kawasan mereka.

"Mereka yang tidak bertanding bukan tidak bagus tetapi pertukaran dibuat kerana kita mahu melakukan satu lonjakan untuk masa depan Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera (Manifesto PRU Dewan Negeri Kelantan ke-15) pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.

Beliau memberitahu, kerajaan menyedari cabaran lebih besar pada masa akan datang dengan melaksanakan perubahan terbesar dalam politik Kelantan.

Tambah beliau, 51.1 peratus calon baharu termasuk mengetengahkan calon Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menunjukkan kesungguhan dalam parti.

"Calon yang diperkenalkan juga melibatkan golongan dalam pelbagai bidang profesional," katanya.

Dalam ceramah sama, Mohd Amar berkata, Kelantan tidak mahu menjadi negeri industri sebaliknya akan dikenali sebagai jelapang makanan negara.

"Kelantan akan melaksanakan lebih banyak perubahan dengan cetusan idea dan politik baharu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!