Van Dijk kapten baharu Liverpool ganti Henderson
CALON pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liverpool telah melantik Virgil van Dijk sebagai kapten baharu kelab itu, dengan rakan pertahanan Trent Alexander-Arnold mengambil alih tugas naib kapten, kata kelab itu.
Van Dijk berusia 32 tahun, yang juga kapten skuad bola sepak kebangsaan Belanda, akan menggantikan Jordan Henderson selepas pemain tengah England itu menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Ettifaq minggu lalu, menamatkan tempoh 12 tahun di Anfield.
Van Dijk telah membuat 222 penampilan untuk gergasi Merseyside itu sejak berpindah dari kelab Liga Kejuaraan Southampton pada 2018.
"Ia adalah hari yang sangat membanggakan untuk saya, untuk isteri, untuk anak-anak, serta keluarga. Ia adalah satu perasaan yang istimewa dan saya tidak dapat menggambarkannya pada ketika ini. Tetapi ia adalah sesuatu yang sangat saya banggakan.
“Saya akan melakukan segala-galanya dalam kuasa saya dan apa yang boleh saya lakukan untuk membuat semua orang bangga dan gembira dengan saya dan kelab bola sepak,” kata Van Dijk dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Liverpool tidak akan beraksi dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama di bawah kendalian Jurgen Klopp sejak musim penuh pertama pengurus Jerman itu pada 2016-17.
"Kami juga perlu sedikit bersabar tetapi keinginan mahu berada di sana (Liga Juara-Juara) dan mahu menunjukkan apa yang kami mampu kerana Liverpool mempunyai sekumpulan pemain, kakitangan, peminat, stadium yang hebat.
"Ini semua tentang melakukannya bersama-sama dengan konsistensi dan diharapkan kami dapat menunjukkannya," tegas Van Dijk.
Sementara itu, Alexander-Arnold, 24, menyertai akademi Liverpool pada 2004 dan menjadi ketua pasukan di peringkat remaja.
Dia akan mengambil alih tugas daripada veteran James Milner, yang menyertai Brighton & Hove Albion pada jendela perpindahan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!