Calon PH Rawang dakwa kereta dipancitkan
RAWANG - Calon Pakatan Harapan (PH) Rawang, Chua Wei Kiat dakwa disabotaj apabila tayar keretanya dipancitkan pada Isnin.
Beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata, kejadian itu disedari ketika mahu keluar meneruskan tugasan harian.
"Pada mulanya saya ingatkan tayar pancit disebabkan tertusuk paku, namun selepas bawa kereta ke bengkel, tiada kesan benda tajam atau paku dijumpai pada tayar.
"Jelaslah ia perbuatan yang telah direncanakan oleh seseorang," katanya.
Wei Kiat berkata, kejadian seumpama itu bukan pertama kali dihadapinya apabila keretanya pernah dibaling batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Perbuatan jahat dan kotor seperti ini amat tidak matang dan mengecewakan, namun saya tidak menyerah kepada politik kotor ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!