United janji tentangan sengit saingi City
PERTAHANAN Manchester United, Luke Shaw mengakui bahawa kejayaan treble yang dinikmati Manchester City 'sangat menyakitkan' tetapi percaya United akan menggunakannya sebagai motivasi tambahan pada musim baharu.
United menikmati musim pertama yang positif di bawah Erik ten Hag apabila mereka menamatkan kemarau trofi dengan kemenangan Piala Liga dan menempah tiket ke Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, pencapaian yang dilakar mereka itu agak jauh jika dibandingkan dengan apa yang telah dicapai oleh jiran setempat mereka, City.
City mengharungi kempen yang luar biasa apabila menang treble Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara buat kali pertama.
“Ya, 100 peratus motivasi kepada pasukan kami melihat mereka menang treble. Tiada motivasi lain yang lebih 'menyakitkan' daripada perkara tersebut untuk kami.
“Saya rasa kami semua sebagai pemain merasainya dan ia benar-benar sukar untuk diterima. Kami tidak boleh biarkan perkara itu berlaku lagi.
“Sudah tiba masanya untuk kita tidak membiarkan City mendapat laluan mudah lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!