Lima Tekad Lima Tahun Selangor bukan janji populis - Amirudin

Amirudin (tengah) pada Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor dan sesi pengenalan calon-calon Perpaduan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di Shah Alam pada Isnin.
Amirudin (tengah) pada Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor dan sesi pengenalan calon-calon Perpaduan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) Selangor melancarkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor kepada rakyat negeri itu sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

Tawaran dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari itu melibatkan lima tekad yang mempunyai 53 program untuk semua lapisan rakyat.

Amirudin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, program yang direncana dan akan dilaksanakan itu adalah untuk kestabilan serta kemakmuran Selangor menerusi tekad kerajaan negeri untuk lima tahun kegemilangan negeri itu.

Katanya, ia bukan janji populis atau 'janji-janji setinggi langit mencapai bulan' yang tidak boleh dilakukan dan akan segera dilaksanakan di Selangor dengan mandat rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Ini lima tekad kita untuk rakyat Selangor untuk lima tahun akan datang. Ini adalah janji daripada seluruh calon PH-BN Selangor dan seluruh pasukan kita untuk membawa Selangor sebagai negeri stabil, maju, aman, harmoni dan menjadi juara di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau yang juga calon Sungai Tua berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor dan sesi pengenalan calon-calon Perpaduan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Lima Tekad, 53 tawaran itu turut merangkumi Tekad 1: Ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dengan 14 tawaran antaranya memfokuskan usaha pembangunan ekonomi kepada industri pertanian moden, aeroangkasa, rel dan bas elektrik, perkhidmatan 5G, robotik dan automasi, kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharui serta e-sukan.

Antara penyokong PH-BN yang hadir.
Antara penyokong PH-BN yang hadir.

Selain itu, ia turut menawarkan 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada orang muda Selangor dengan menarik pelaburan tempatan dan luar negara.

Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Pelabuhan Klang agar Selangor menjadi destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara.

Mewujudkan tiga perbandaran baharu di Sepang, Sabak Bernam dan sepanjang jajaran Sungai Klang diterajui oleh PKNS, MBI dan sektor swasta dilengkapi dengan perumahan mampu milik untuk rakyat Selangor.

Turut ditawarkan subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000 jika PH-BN dapat membentuk kerajaan negeri dalam PRN Selangor pada 12 Ogos depan.

Amirudin berkata, subsidi berkenaan akan diberikan kepada 3,000 jemaah muassasah kali pertama untuk menyempurnakan ibadah tersebut.

"Ia terkandung dalam Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor di bawah kerangka agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor.

"Selain itu, turut ditawarkan dana guaman syariah yang ditingkatkan bagi membantu golongan wanita yang memerlukan dengan dana tambahan RM3 juta," katanya.

Tawaran 'Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun' meliputi ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi; agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor; serta perkhidmatan kerajaan yang cekap dan efisien.

Selain itu jelasnya, ia termasuk pembangunan mampan, selesa, dan berdaya huni serta Selangor negeri penyayang yang membela kepentingan rakyat dengan meliputi 53 tawaran secara keseluruhan.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!