Kerajaan teliti wujud kerangka kawal selia AI

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang meneliti keperluan bagi mewujudkan satu kerangka awal mengawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, langkah itu adalah suatu kewajaran memandangkan AI mungkin memberi kesan kepada pekerjaan.

"Saya percaya dalam isu ini kementerian berwajib iaitu Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKD akan bekerjasama meneliti apa yang perlu kita lakukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Hari Sektor Awam Malaysia di sini pada Selasa.

Beliau berkata, memandangkan AI merupakan sektor yang sangat baharu, ia memerlukan usaha untuk mengumpulkan tenaga pakar dari dalam dan luar kerajaan bagi memahami beberapa cabaran termasuk isu etika.

"Pada masa sama, kita melihat perkembangan terbaru di beberapa negara yang mana ada penyedia perkhidmatan AI disaman kerajaan kerana isu perlindungan data," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berharap agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi penyertaan untuk memberi penjelasan mengenai penggunaan kosa kata tepat berkaitan teknologi AI di dalam Bahasa Melayu.

"Contohnya kita tahu sekarang saya pun tahu AI disebut sebagai kecerdasan buatan dan masa yang sama mungkin tidak lama lagi akan ada banyak teknologi baru yang memerlukan kita memastikan kosa kata tepat dalam Bahasa Melayu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Fahmi berkata Ekonomi digital Malaysia berada di landasan tepat untuk menyumbang lebih 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025.

"Kerajaan sedang menggandakan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing khususnya di dalam bidang AI," katanya.

Awal tahun ini, Amazon Web Services (AWS) mengumumkan pelaburan teknologi terbesar iaitu RM25.5 bilion atau AS$6 bilion di Malaysia menjelang tahun 2037.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!