Jalan Sungai Besi arah selatan ditutup setahun bermula Sabtu ini
KUALA LUMPUR - Jalan Sungai Besi arah selatan akan ditutup selama setahun mulai Sabtu ini hingga 4 Ogos tahun depan bagi memberi laluan kepada kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, jalan terlibat adalah laluan menghala ke Sungai Besi/Petaling Jaya terletak berhadapan Fraser Business Park dan Bulatan Loke Yew.
Menurutnya, laluan alternatif disediakan sepanjang penutupan jalan berkenaan dan pengguna dinasihatkan mematuhi isyarat papan tanda.
"Patuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan serta langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan dan sebarang kesulitan," kata kenyataan itu.
DBKL memaklumkan, jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew ditutup kepada semua lalu lintas pada tempoh sama.
"Ia bagi membolehkan kerja merobohkan jambatan susur dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dijalankan.
"Laluan alternatif adalah melalui Jalan Sungai Besi, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga," kata kenyataan itu.
INFO
Berikut merupakan jalan alternatif dan lencongan untuk panduan pengguna sepanjang tempoh penutupan jalan tersebut:
- Trafik dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Sungai Besi/ Petaling Jaya akan dilencongkan kepada dua bahagian iaitu melalui jalan bersebelahan Federal Bakery dan memasuki laluan kontra di Lorong bersebelahan. (Lampiran 1)
- Trafik dari Sungai Besi/ Petaling Jaya untuk ke Bulatan Kampung Pandan akan dilencongkan ke susur kiri melalui Bulatan Loke Yew. (Lampiran 2)
- Bulatan Loke Yew akan ditutup. Trafik Cheras menghala ke Jalan Loke Yew hanya dibenarkan untuk membuat pusingan U sahaja menghala arah Cheras semula.
- Laluan alternatif trafik dari Cheras menuju ke Jalan Sungai Besi pula dengan melalui Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga.
- Untuk trafik yang datang dari Cheras dan menghala ke Jalan Yew pula hendaklah melakukan pusingan U di persimpangan ’flyover’ di Jalan Maharajalela.
- Laluan sama juga sama untuk trafik yang datang dari Cheras dan menuju ke kawasan persekitaran Jalan Yew.
- Bulatan Loke Yew akan ditutup. Trafik Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Loke Yew dan Jalan Sungai Besi akan dilencongkan ke Jalan Yew menghala ke Bulatan Pudu sahaja.
- Sebagai laluan alternatif pengguna jalan raya hendaklah melalui pusingan U di SMK (P) Pudu.
- Bulatan Loke Yew akan ditutup. Laluan trafik Jalan Yew dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching akan ditutup pada tempoh pembinaan. Laluan alternatif adalah melalui Jalan Kampung Pandan, Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!