Pelajar sekolah maut langgar lembu melintas

Pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan kepada mangsa sebelum dibawa ke Hospital Sik.
Pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan kepada mangsa sebelum dibawa ke Hospital Sik.
A
A
A

SIK - Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggang terlanggar seekor lembu yang melintas jalan di Jalan Kampung Kota Bukit di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Hammem Abd Halim dan merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini.

Katanya, mangsa yang berusia 14 tahun itu maut akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

"Dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu mangsa dikatakan menunggang motosikal dari arah Kampung Langgok menghala Kampung Kota Bukit.

"Sebaik sampai di tempat kejadian, seekor lembu secara tiba-tiba melintas jalan secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar lembu terbabit," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan kepala mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sik pada 9.35 malam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!