Laksana cukai tidak membebankan rakyat dalam Belanjawan 2024
KUALA LUMPUR - Prinsip asas dasar percukaian negara perlu berlandaskan cukai yang benar-benar perlu tanpa membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian lanjut mengenai perkara itu akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024 akan datang.
Menurutnya, perubahan yang diambil, termasuk dalam bajet akan datang (Belanjawan 2024 yang dijadualkan dibentangkan pada 13 Oktober), akan dirumus dengan jelas berdasarkan prinsip 'cukai apabila perlu, dan tidak boleh dilihat sebagai beban. untuk orang ramai dan komuniti perniagaan'," katanya.
“Sebarang pembaharuan dalam percukaian negara harus dilihat mesra kepada masyarakat awam dan komuniti perniagaan.
“Hasrat kita sudah tentu untuk menggalakkan mereka menjadi lebih produktif dan menyumbang kepada negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2023 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi dan Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia, Chow Chee Yen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga perlu memastikan cukai yang dikutip dibelanjakan dengan bijak tanpa ketirisan.
Beliau dalam pada itu turut mengesahkan prestasi LHDN sepanjang lapan bulan beliau menerajui negara adalah pada tahap terbaik.
“Harus ada pendekatan yang lebih muhibah di kalangan syarikat yang harus membayar cukai dan LHDN,saya faham bahawa selalunya LHDN ini satu badan tidak popular sangat. Kutip cukai macam mana nak jadi popular
“Sebab itu saya tidak mahu kutip cukai, saya suruh LHDN dan kastam kutip cukai,” selorohnya.
Tambahnya, memang ada peningkatan yang membanggakan kerana tahap kecekapan dan kesediaan LHDN untuk mencari jalan baru.
“Ekonomi Madani adalah tentang keperluan melakukan anjakan, untuk memperbaiki prestasi kita.
“Justeru sidang-sIdang seperti ini, kaedah percukaian yang lebih canggih, telus yang terikat dengan tata kelola yang baik dan mengelak sebarang salah laku dan ketirisan perlu dilaksanakan,” tegasnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!