PRN: Tak perlu bayangkan dulu siapa MB Kelantan

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pas Kelantan menjelaskan tidak perlu memberi bayangan siapa yang akan dipilih menjadi menteri besar di negeri itu selagi pilihan raya negeri (PRN) belum selesai.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, sekarang ini perlu memberi tumpuan kepada rakyat dan gerak kerja calon-calon untuk berdepan PRN yang semakin hampir pada 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tidak perlu memberi bayangan itu kerana semua calon yang bertanding di negeri ini adalah layak menjadi menteri besar.

“Tak perlu bayangan, sebab semua pun layak. Exco dan menteri besar pun layak.

“Tidak ada yang tak layak. Sekarang belum lagi, nanti kita akan tentukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran E-Wallet Kelantan Pay di sini pada Selasa.

Turut hadir, Exco Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Ahmad berkata, penetapan penyandang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan Kelantan hanya akan ditentukan selepas Perikatan Nasional (PN) menang pada PRN dan Pas dapat mempertahankan kerajaan negeri ini.

“Selepas pilihan raya nanti kita akan susun yang terbaik. Sekarang ini kita tumpu kepada rakyat dan calon kita terlebih dahulu.

“Kita tunggu keputusan selepas ini dan dalam masa beberapa hari, kita akan tentukan siapa menteri besar,” ujar beliau.

Sebelum ini, Ahmad yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan menyatakan pencalonannya dalam PRN kali ini adalah yang terakhir.

Pencalonan di DUN itu memasuki penggal ketujuh dan tiba masa beliau memberi laluan kepada calon lain yang lebih muda.

Ahmad (PN-Pas) akan melawan Mohamad Zamakh Sari Ibrahim (Pakatan Harapan-Parti Keadilan Rakyat).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!