Calon PSM isytihar harta keseluruhan RM368,916

Sivaranjani (kanan) pada sidang akhbar di Pejabat PSM pada Selasa.
Sivaranjani (kanan) pada sidang akhbar di Pejabat PSM pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, M Sivaranjani tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai keseluruhan sebanyak RM368,916.

Sivaranjani dalam akuan berkanun itu memberitahu, nilai aset bersih beliau pula berjumlah RM287,916 dengan baki hutang RM81,000 setakat 26 Julai lalu.

Menurut Sivaranjani, akuan bersumpah itu dibuat sejajar dengan syarat yang ditetapkan oleh parti itu sebagai calon PSM.

"Dua calon kami di Selangor yang telah membuat akuan bersumpah selain saya ialah calon DUN Dengkil, Darren Ong Chung Lee," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PSM di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, dua lagi calon PSM iaitu di DUN Kota Damansara, A Sivarajan dan DUN Kajang, S Arutchelvan atau Arul dijangka turut sama membuat akuan dalam waktu terdekat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat dan Ketua Biro Pekerja PSM itu, pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Beliau yang bekerja sebagai pengurus sebuah badan bukan kerajaan (NGO) memaklumkan memperoleh pendapatan tetap bulanan sebanyak RM8,320.

"Inilah pendapatan yang saya ada dan saya bekerja untuk khidmat kepada rakyat dan bukan menjadi calon yang menang kemudiannya cari duit di sini dan mengumpul harta," ujar beliau.

Sehubungan itu, Sivaranjani turut meminta semua calon bertanding terutama di DUN Meru membuat pengisytiharan harta agar rakyat dapat mengetahui kemampuan seseorang calon bertanding.

"Kita berharap setiap tahun mereka dipilih rakyat ini mengisytiharkan harta mereka supaya jika ada peningkatan sekali pun ia bukanlah bersifat drastik dan tidak munasabah," tambah beliau.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, DUN Meru menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Sivaranjani, calon Pakatan Harapan (PH), Mariam Abdul Rashid dan calon Perikatan Nasional (PN), Hasnizam Adham.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!