Justin berpotensi ganti Chong Wei
PEMAIN muda negara berusia 19 tahun, Justin Hoh dilihat berpotensi untuk menjadi pengganti legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Perkara itu didedahkan oleh bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek yang menyifatkan Justin sebagai pemain terbaik pernah dilatihnya sepanjang beliau membimbing kem perseorangan remaja sebelum ini.
“Dia (Justin) bakat terbaik saya ada ketika itu, dalam masa tiga tahun terus menjadi. Dia seorang pemain yang mendengar (tunjuk ajar) dan hendak berjaya.
“Sebab itu dia cakap saya sebagai bapanya. Dia tahu sebab dia serahkan jiwa dan raga untuk jadi pemain berjaya,” katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebagai rekod Justin pernah memenangi beberapa gelaran termasuk Kejohanan Antarabangsa Bonn 2022 di Jerman, Terbuka Croatia 2022 dan Cabaran Antarabangsa Uganda 2023.
Dalam pada itu, Misbun turut mendedahkan bahawa beliau tidak bersetuju dengan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyerap Justin ke dalam skuad senior tahun lalu kerana menganggap anak didiknya itu belum matang untuk berdepan pemain lebih berpengalaman.
Malah menurutnya, Justin dikatakan enggan 'dinaikkan pangkat' ke skuad senior selain kecewa dengan kecederaan yang dialaminya.
Justin terpaksa berehat panjang selama enam bulan ekoran kecederaan achilles tendon kiri yang menimpanya ketika menjalani latihan April lalu.
Pemain yang menghuni ranking ke-67 dunia itu dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Misbun apabila menganggap legenda badminton negara itu sebagai bapa sendirinya.
Malah Justin dalam satu hantaran di Instagram pada Ahad lalu menganggap Misbun sebagai jurulatih terbaiknya.
BAM pada Jumaat memaklumkan Misbun dan badan induk itu bersetuju secara bersama untuk berpisah susulan prestasi hambar skuad muda negara di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia awal Julai lalu.
Misbun bagaimanapun mendakwa keputusan BAM tersebut bertentangan dengan apa dimaklumkan kepada media, malah beliau tidak bersetuju dengan perkara itu yang didakwa sudah diatur lebih awal.
Biarpun kecewa dan terkilan dengan keputusan tersebut jurulatih berusia 63 tahun itu tidak boleh berbuat apa selain menerima dan akur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!