JPN Melaka terima 23 permohonan tukar nama bayi
MELAKA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka menerima sebanyak 23 permohonan perubahan nama bayi dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 24 permohonan dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarahnya, Norazlee Sulaiman berkata, permohonan pembetulan maklumat dalam sijil kelahiran dibuat berdasarkan Seksyen 15(1) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) Pindaan (2016) yang termaktub hanya kepada bayi berusia satu tahun ke bawah.
Menurutnya, antara sebab pertukaran nama dilakukan setelah pemohon menyedari nama yang didaftarkan membawa maksud yang tidak baik.
Malah menurutnya, ada diantara pemohon memberikan alasan kepercayaan agama mereka berkait rapat dengan tahap kesihatan.
"Bahkan ada satu situasi nama telah diberi, dah pakai namun dia rasa ada masalah dengan nama itu.
"Ada kerana masalah kesihatan, masalah nasib tidak baik dan pelbagai masalah kerana disabitkan dengan nama tersebut dan mohon ditukar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat JPN yang disempurnakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Nordin di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh pada Selasa.
Tambahnya, JPN mempunyai garis panduan dan kaedah berdasarkan undang-undang sedia ada sebelum meluluskan permohonan pertukaran nama tersebut.
Jelasnya, selain itu terdapat juga nama-nama yang ditegah untuk didaftarkan iaitu nama yang terlalu panjang melebihi 80 aksara, melibatkan gelaran yang dikurniakan oleh kerajaan, pangkat atau jawatan serta gelaran keturunan yang tiada kaitan susur galur.
Katanya, JPN juga tidak membenarkan nama-nama yang membawa maksud lucah dan buruk, nama yang membawa maksud tidak baik dalam bahasa lain serta nama perhiasan atau pakaian atau peralatan didaftarkan dalam sijil kelahiran.
"Walaupun hak (nama) itu milik semua orang, namun JPN mempunyai garis panduan dan ia bukan untuk umat Islam sahaja tetapi semua kaum, bahkan dalam soal nasab JPN tetap kawal" ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!