BN tak terlibat krisis rumah tangga calon Pas - Ahmad Said
KEMAMAN - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Barisan Nasional (BN) terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas.
Menurut Ahmad, dakwaan itu tidak berasas kerana wanita yang mengaku sebagai isteri kedua calon tersebut datang sendiri untuk bertemu beliau di pejabatnya di sini beberapa minggu lalu.
"Sebenarnya tiada konspirasi, tiada pakatan. Saya ingin jelaskan bekas isteri calon terbabit ada datang jumpa saya di sini, di pejabat saya untuk menceritakan masalah beliau dan sebagainya.
"Saya hanya mendengar apa yang beliau luahkan dan saya kata terpulang pada 'you' lah. Saya tak mahu campur tangan sebab ini melibatkan masalah peribadi.
"Sebab itu saya tak pernah membongkar aib orang kerana saya tahu apa akibatnya. Saya kata terpulang pada you, you yang hadapi.. Tapi (jika) melibatkan benda-benda lain ok. Kalau melibatkan masalah maruah orang saya tak mahu campur," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini pada Selasa.
Justeru, Ahmad berkata, beliau tidak pernah membongkar perkara itu walaupun di setiap ceramah yang dihadirinya.
"Dia datang jumpa saya sendiri tapi saya tak nak cerita lah kepada orang, kalau saya nak cerita dalam ceramah saya, saya boleh dedahkan apa yang wanita ini beritahu kepada saya dan sebagainya. Sebab saya tahu batas-batasnya sebagai orang Islam.
"Tetapi, apabila MB (Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) komen (isu ini) kata hal kecil. Ini bukan hal kecil kalau hal rumah tangga. Dia dah tahu dari awal kenapa calonkan juga. Kita sudah buat tapisan kan.
"Macam kes tanah (isu penjualan tanah kerajaan) juga, dia kata isu kecil. Isu kecil apanya kalau dah nak pilihan raya. Ini melibatkan duit rakyat, bukan isu kecil," jelas Ahmad.
Ahmad bagaimanapun berkata, isu berkaitan isu projek yang didakwa melibatkan calon Pas itu menarik perhatian beliau.
Katanya, isu melibatkan surat akuan sumpah oleh wanita terbabit yang ditandatangani oleh calon BN dan dikaitkan mempunyai niat jahat juga satu bentuk tuduhan yang tidak berasas.
"Surat akuan sumpah oleh wanita itu ditandatangani oleh calon BN, tetapi ketika itu beliau masih menjawat jawatan sebagai pesuruhjaya sumpah dan belum sah sebagai calon," katanya.
Sabtu lalu, seorang kontraktor wanita tampil membuat pengakuan mendakwa digantung tidak bertali oleh suaminya yang merupakan calon sebuah parti politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.
Wanita terbabit, 38, mendedahkan sehingga kini tidak mengetahui status hubungannya dengan pemimpin politik berkenaan selepas lelaki itu bertindak mendiamkan diri serta cuba mengelak setiap kali diajak berbincang bersama.
Wanita itu mendakwa, ahli politik berusia lewat 40-an itu bertindak mendiamkan diri selepas perkahwinan mereka di negara jiran diketahui isteri pertama lelaki berkenaan pada Oktober tahun lalu.
Baru-baru ini tular gambar Ahmad bersama wanita berkenaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan pendedahan itu serta dikaitkan dengan komplot untuk menjatuhkan calon Pas berkenaan.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!