Polis siasat himpunan mogok lapar depan Penjara Sungai Buloh

Kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin. Gambar kecil: Hussein Omar
Kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin. Gambar kecil: Hussein Omar
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis akan menjalankan siasatan berhubung himpunan melibatkan kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di hadapan Penjara Sungai Buloh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan akan diambil termasuk mengenal pasti penganjur yang terlibat dalam himpunan ini.

"Siasatan akan dijalankan berkaitan himpunan ini termasuk merakam keterangan pihak yang terlibat.

"Pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa, saya harap agar himpunan mogok ini dapat bersurai secara aman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, rata-rata individu yang terlibat dalam himpunan mogok lapar ini menggesa kerajaan agar memastikan keadilan yang sepatutnya diterima mereka.

Salah seorang peserta himpunan, N Megavinotini, 30, berkata, kehidupan dia keluarga terjejas setelah suaminya ditahan sejak Jun tahun lalu.

"Kehidupan kami sekeluarga amat terjejas ketika ini, kami bukan minta dimansuhkan SOSMA, cumanya saya mahukan keadilan sewajarnya.

"Sekiranya didapati bersalah, hakimilah dia dengan sewajarnya bukan dengan cara sebegini, yang mana ditahan dalam tempoh lama sehingga menjejaskan emosi saya dan anak-anak," katanya.

M Saraswaty, 59, pula berkata, kedua-dua anaknya sebelum ini ditahan di bawah SOSMA dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

"Saya menghidap pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan pelbagai lagi, dulu mereka yang bawa saya ke klinik.

"Tapi sejak mereka ditahan tahun lalu, saya terpaksa bersusah payah pergi sendiri untuk dapatkan rawatan, saya sudah tua, sepatutnya anak-anak jaga saya, tapi bila dah jadi macam ini, saya amat tertekan," katanya.

Kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin.

Pada Isnin, Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr Kalai Vanar dilaporkan berkata, bantahan itu adalah untuk menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan undang-undang pencegahan.

Menurutnya, tahanan SOSMA ditahan di dua penjara iaitu 34 orang di Penjara Sungai Buloh dan selebihnya di Penjara Alor Setar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!