Sungai Pahang cetek, pengusaha ikan sangkar buntu

Beting pasir timbul selepas air Sungai Pahang semakin surut berhampiran sangkar milik Jamil di Kampung Sanding dekat Pesagi, Chenor. Gambar kecil: Jamil, Rosmanira, Rosmawati
Beting pasir timbul selepas air Sungai Pahang semakin surut berhampiran sangkar milik Jamil di Kampung Sanding dekat Pesagi, Chenor. Gambar kecil: Jamil, Rosmanira, Rosmawati
A
A
A

MARAN - Pengusaha ikan sangkar di Chenor buntu apabila kebanyakan ikan patin dan tilapia dalam sangkar mereka mati akibat Sungai Pahang yang semakin cetek.

Situasi tersebut bukan menjejaskan pengusaha-pengusaha ikan sangkar di Sungai Pahang bahkan nelayan darat turut terjejas selepas banyak ikan mati akibat kekurangan oksigen apabila air semakin surut.

Faktor cuaca panas dan tiada taburan hujan yang banyak dari hulu kawasan menyebabkan beting pasir terbentuk di beberapa kawasan mereka mencari rezeki.

Seorang pengusaha ikan sangkar di Kampung Tanjung Berangan dekat Pesagi, Chenor, Rosmawati Sulaiman, 41, mendakwa situasi itu paling teruk dialami mereka selepas air sungai di kawasan sangkar yang diusahakan bersama suaminya semakin surut hingga beting pasir timbul sejak beberapa bulan lalu.

"Sepanjang duduk di sini, saya rasa ini paling teruk dan mengejutkan kerana jika diikutkan kawasan sangkar yang kami usahakan ini berada di kawasan air paling dalam.

"Setakat ini, ribuan ekor ikan patin dan tilapia sudah mati. Jadi kami kami terpaksa jual dengan harga murah iaitu RM16 berbanding harga pasaran RM22 sekilogram untuk habiskan ikan yang tinggal sebelum mati," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Menurutnya, dia terpaksa menutup operasi buat sementara waktu bagi mengelakkan menanggung kerugian lebih besar dan berkemungkinan kembali beroperasi pada November nanti.

Rosmawati dan Rosmanira melihat suasana air surut dan beting pasir yang timbul di kawasan sangkar ikan yang terjejas pada Selasa.
Rosmawati dan Rosmanira melihat suasana air surut dan beting pasir yang timbul di kawasan sangkar ikan yang terjejas pada Selasa.

Rosmawati dan suaminya yang mula mengusahakan sangkar itu sejak empat tahun lalu dengan memiliki lapan sangkar mendakwa mereka mengalami kerugian kira-kira RM10,000 setakat ini.

Seorang lagi pengusaha di Kampung Sanding, Jamil Awang Noh, 64, mengakui situasi tersebut didakwa paling teruk pernah berlaku sepanjang dia mengusahakan ikan sangkar di kawasan itu sejak 1996 hingga kini.

"Dalam bulan Julai lalu, dah nampak beting pasir, ikutkan saya rasa ini paling teruk sepanjang tinggal di sini dan setakat ini jumlah kerugian dialami kira-kira RM60,000.

"Kita tak boleh jangka keadaan cuaca sekarang. Pada Ogos tahun lepas, saya letak benih ikan sebanyak 30,000 ekor tapi separuh daripada jumlah itu mati, bulan lepas pun isi 9,000 ekor semuanya mati, baru-baru ini letak lagi 3,000 ekor tinggal 1,000 sahaja yang hidup," katanya yang memiliki 35 sangkar di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Rosmanira Borhan, 38, turut mendakwa situasi tersebut dianggap mengejutkan sepanjang dia tinggal di kawasan berkenaan.

Jamil melihat keadaan sangkar-sangkar ikannya yang kini terjejas teruk selepas banyak ikan mati sejak air Sungai Pahang kian surut pada Selasa.
Jamil melihat keadaan sangkar-sangkar ikannya yang kini terjejas teruk selepas banyak ikan mati sejak air Sungai Pahang kian surut pada Selasa.

"Malah mak saya pun cakap benda sama, tak pernah lihat sampai macam ini sekali. Sebelum ni, bukan tiada beting pasir yang timbul, cuma kali ini lebih besar. Dulu ada juga air di tebing sungai ni. Tapi sekarang betul-betul kering.

Rosmanira berkata, meskipun keadaan cuaca sekarang tidak kemarau seperti dua bulan lalu, namun disebabkan tiada taburan hujan di hulu sungai ia menjadi penyumbang kepada situasi ini berlaku.

Tambahnya, jika sebelum ini, penduduk masih boleh berkelah dan mandi di sungai berhampiran di beting pasir itu, kini mereka tidak lagi dapat menikmati suasana itu.

"Macam saya yang berniaga sayur kampung, susah untuk nak dapatkan bekalan pucuk paku sebab banyak yang mati, nak dapat 20 ikat pun payah," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pesagi, Abd Rahim Yaakob memberitahu, fenomena beting pasir yang terbentuk di kampung terbabit adalah kejadian biasa ketika kemarau.

Keadaan air surut dan beting pasir yang lebih besar dianggap teruk berbanding sebelum ini oleh penduduk
Keadaan air surut dan beting pasir yang lebih besar dianggap teruk berbanding sebelum ini oleh penduduk

"Cuma saya nak minta penduduk berhati-hati dan tidak pergi ke kawasan bawah pasir kerana bimbang terjerlus, sebab sebelum ini ada kejadian sudah berlaku hingga menyebabkan lemas tahun lalu," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!