Bomba usaha selamatkan ahli geologi Indonesia disengat lebah

Pasukan bomba dalam usaha menyelamatkan mangsa yang berada di Hutan Simpan Sapulut.
Pasukan bomba dalam usaha menyelamatkan mangsa yang berada di Hutan Simpan Sapulut.
A
A
A

KENINGAU - Seorang ahli pasukan geologi dari Indonesia yang melakukan kajian arang batu mengalami sesak nafas selepas disengat lebah di Hutan Simpan Sapulut, di sini pada Isnin.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai M Iqbal berusia 24 tahun cedera akibat disengat manakala empat lagi rakannya yang turut serta berusia antara 25 hingga 33 tahun dalam keadaan selamat.

Susulan kejadian itu, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dibantu oleh BBP Sook menghantar anggotanya untuk membawa keluar mangsa dari hutan yang terletak sejauh 180 kilometer.

Ketua BBP Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.50 malam Isnin.

Katanya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi kejadian dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

"Menurut laporan awal, terdapat seorang mangsa cedera disengat lebah ketika berada di dalam hutan berkenaan.

"Mangsa merupakan salah seorang daripada pasukan geologi yang masuk ke dalam hutan untuk menjalankan kajian arang batu di hutan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Tambah beliau lagi, mangsa dilaporkan mengalami sesak nafas sehingga sukar untuk meneruskan perjalanan keluar dan bertindak memohon bantuan daripada penyelamat untuk membawanya keluar.

"Mangsa mengalami bengkak pada bahagian yang disengat dan menyebabkannya sukar untuk meneruskan perjalanan.

"Kumpulan berkenaan juga mengalami kesukaran untuk berhubung disebabkan tiada talian telefon di lokasi dan mereka terpaksa menggunakan radio satelit untuk menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Nurul Azlan Shah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua diteruskan bagi mengeluarkan kumpulan terbabit.

"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!