Taufan Khanun landa Jepun, 760,000 penduduk diarah berpindah
TOKYO - Taufan kuat melanda selatan Jepun sehingga mencetuskan pembatalan ratusan jadual penerbangan dan memaksa ratusan ribu penduduk mencari tempat perlindungan sementara waktu.
Taufan Khanun membawa kelajuan angin maksimum 162 kilometer sejam ketika ia melintasi Lautan Pasifik dan dijangka membadai wilayah Okinawa hari ini.
Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran ombak setinggi 12 meter boleh melanda Okinawa dan pihak berkuasa mengeluarkan arahan perpindahan tidak wajib kepada 760,000 penduduknya.
"Taufan itu sangat kuat dan kini berada kira-kira 170 kilometer ke tenggara wilayah Naha," katanya.
Taufan tersebut dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat.
Sementara itu, lebih 500 jadual penerbangan dibatalkan pada Selasa manakala perkhidmatan feri dan bas digantung sebelum taufan melanda wilayah tersebut.
Japan Airlines dan All Nippon Airways berkata lebih 74,000 penumpang secara keseluruhan akan terjejas akibat pembatalan jadual penerbangan pada Selasa dan Rabu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!