BAM pertahan tindakan 'lepaskan' Misbun

Subramaniam, Misbun
Subramaniam, Misbun
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mempertahankan tindakan mereka 'melepaskan' bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek baru-baru ini.

Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam yang mengetuai jawatankuasa khas mengenai kegagalan skuad remaja negara pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia bulan lalu berkata, keputusan menamatkan kontrak Misbun dilakukan dengan cara yang betul.

"Setahu saya, kami telah melakukan apa sahaja perkara dengan sewajarnya. Saya enggan memberi sebarang komen mengenai isu ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Skuad remaja negara menampilkan persembahan hambar di Yogyakarta apabila mereka tumpas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran manakala tiada seorang pun wakil layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat adalah pada 2018 menerusi beregu wanita remaja ketika itu Pearly Tan-Toh Ee Wei yang meraih perak, selain membantu skuad negara ketika itu memperoleh gangsa bagi acara berpasukan campuran.

Subramaniam juga berkata, adalah lebih baik bagi semua pihak untuk melupakan kontroversi itu kerana Misbun telah pun akur dengan keputusan itu.

Jumaat lepas, Subramaniam pada sidang akhbar memaklumkan bahawa BAM dan Misbun bersetuju secara bersama untuk berpisah.

Bagaimanapun, Misbun pada sidang akhbar pada Isnin mendakwa beliau telah dipecat secara tidak adil dan tidak pernah mencapai persetujuan bersama dengan BAM untuk berpisah seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Mendedahkan sisi ceritanya, Misbun, yang kontraknya sehingga akhir tahun ini berkata, beliau benar-benar kecewa memandangkan ia bercanggah dengan apa yang BAM maklumkan kepada media.

Misbun sebelum ini meninggalkan BAM buat kali pertama pada 2011 sebelum menyertai semula BAM untuk kali kedua pada 2017 sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Kebangsaan.

Pada 2020, beliau dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan diikuti sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM tahun lepas. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Misbun sedia akur keputusan BAM

BAM, Misbun berpisah cara baik

Misbun dedah punca ditamat kontrak

Misbun luah rasa terkilan terhadap Norza

Hannah serah kepada BAM selesai kemelut dengan Misbun

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!