Universiade 2023: Badminton bakal sumbang pingat pertama

Beregu wanita mengutip mata kemenangan untuk membantu kontinjen Malaysia mara ke separuh akhir acara berpasukan campuran Universiade di Chengdu, China pada Selasa. - Foto: Agensi
Beregu wanita mengutip mata kemenangan untuk membantu kontinjen Malaysia mara ke separuh akhir acara berpasukan campuran Universiade di Chengdu, China pada Selasa. - Foto: Agensi
A
A
A

SKUAD badminton negara dilihat berpeluang menyumbang pingat tambahan kepada kontinjen Malaysia dalam Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China selepas melayakkan diri ke separuh akhir acara berpasukan campuran setelah menewaskan Hong Kong 3-1 sebentar tadi.

Mata pertama Malaysia diperoleh menerusi beregu campuran Wong Tien Ci-Desiree Siow Hao Shan yang menewaskan Shing Choi Yeung-Chi Yan Fu 21-18, 21-17.

Rentak positif kemudian disusuli dengan kemenangan dalam acara perseorangan wanita menerusi Yap Rui Chen untuk Malaysia mendahului 2-0.

Rui Chen yang menggantikan S Kisona akibat kecederaan menang 21-17, 21-14 ke atas Saloni Samirbhai Mehta.

Bagaimanapun kejutan berlaku ke atas acara perseorangan lelaki apabila Faiz Rozain tumpas straight set kepada Pak Ngai Mak 16-21, 11-21 untuk Hong Kong merapatkan kedudukan 1-2.

Bagaimanapun beregu wanita Teoh Lexuan-Ng Qi Xuan menyelamatkan maruah negara apabila memberi kemenangan 3-1 buat Malaysia setelah menewaskan Hiu Yan Tsang-Mau Ying Yang 21-17, 21-12.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir pagi Rabu untuk menentang juara bertahan Taiwan.

Apa pun keputusan yang bakal diperoleh, satu lagi pingat sudah berada dalam genggaman kontinjen Malaysia setelah mengumpul satu emas dan tiga gangsa setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!