Dana pemulangan aset untuk bayar hutang 1MDB

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Dana daripada pemulangan aset-aset 1Malaysia Development Bhd (1MBD) akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB sebanyak RM51 billion, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Jumlah tersebut termasuk faedah yang perlu ditanggung sebanyak RM10.8 billion dan pinjaman Kementerian Kewangan yang telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB setakat ini sebanyak RM8.6 bilion, katanya.

"Dana ini juga akan digunakan untuk membayar kos guaman dan perbicaraan yang terbit daripada usaha memulangkan dan melupuskan aset-aset 1MDB di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Peguam Negara memaklumkan sejumlah US$322 juta (RM1.3 bilion) daripada aset-aset 1MDB dapat dikembalikan ke Malaysia berikutan Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Keputusan DOJ itu adalah yang terkini setelah mahkamah Singapura mengarahkan dana berkaitan 1MDB sebanyak SG$50 juta (RM152.4 juta) dipulangkan ke Malaysia.

Guan Eng berkata, pemulangan aset-aset tersebut merupakan langkah awal ke arah penyelesaian isu 1MDB dan pemulihan reputasi Malaysia supaya tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrasi.

"Pemulangan aset-aset ini menerusi proses undang-undang juga membuktikan salah laku yang telah berlaku berkaitan dengan 1MDB," kata Lim, sambil menambah kerajaan akan meneruskan usaha untuk mendapatkan kembali aset-aset 1MDB yang lain.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan akan memperkukuhkan kawalan dalaman dan inisiatif pencegahan rasuah supaya perkara sebegini tidak berlaku lagi di masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"MOF (Kementerian Kewangan) ingin menyatakan penghargaan di atas usaha dan kerjasama pihak berkuasa luar negara yang terbabit dalam penyiasatan, pembicaraan dan penyelesaian kes ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!