Operasi SAR pelombong terperangkap di Jawa Tengah ditamatkan

Pasukan penyelamat berusaha mengalirkan sebahagian air menggunakan 37 mesin pam dan menyekat lima laluan air masuk, namun air masih belum surut. - Foto AFP
Pasukan penyelamat berusaha mengalirkan sebahagian air menggunakan 37 mesin pam dan menyekat lima laluan air masuk, namun air masih belum surut. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan pelombong yang terperangkap sedalam 60 meter di lombong emas haram di Jawa Tengah, ditamatkan hari ini (Selasa).

Pihak berkuasa mengambil keputusan itu selepas berbincang dengan semua agensi penyelamat setelah mempercayai ‘tiada tanda-tanda mangsa yang masih hidup’, kata ketua Pejabat SAR Cilacap Adah Sudarsa.

"Memandangkan keadaan geologi dan lubang di tapak lombong itu, usaha SAR sukar dijalankan. Kita tidak boleh menentang alam semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa terperangkap di lombong di Pancurendang di pinggir Ajibarang, Banyumas sejak tujuh hari lalu apabila lubang tersebut tiba-tiba dibanjiri air lembangan bawah tanah.

Pasukan penyelamat berusaha mengalirkan sebahagian air menggunakan 37 mesin pam dan menyekat lima laluan air masuk, namun air masih belum surut.

Tapak kejadian tragis itu kini ditandakan dengan plak sebagai memperingati pelombong yang terkorban dan kawasan itu masih ditutup, dengan beberapa kenderaan polis masih berada di situ.

Sabtu lepas, polis Banyumas menahan tiga suspek berhubung kejadian itu dan sedang mengesan seorang lagi.

Suspek yang dikenal pasti sebagai pemilik tanah, pemilik tapak, pelabur dan pengusaha lombong didakwa bertanggungjawab terhadap perlombongan emas secara haram di kawasan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!