Bantuan khas penghargaan penjawat awam dibayar 10 Ogos
KUALA LUMPUR - Bantuan Khas Penghargaan (BKP) kepada penjawat awam dan pesara kerajaan tahun 2023, akan dibayar pada 10 Ogos ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berkongsi surat edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, bayaran sebanyak RM300 akan diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana Gred 56 dan ke bawah, termasuk pegawai dan lantikan kontrak.
"Penerima BKP turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta tidak berpencen yang akan menerima sebanyak RM200.
"Bayaran BKP bagi penjawat awam ini layak diberikan kepada mereka yang masih berkhidmat pada 10 Ogos ini yang merupakan pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (COS) selain pegawai yang bercuti bergaji penuh, bercuti separuh gaji dan bercuti tanpa gaji,” katanya.
Bayaran itu juga layak diberikan kepada pegawai yang dipinjamkan, termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya dengan BKP ini dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai itu.
Menurut surat edaran itu, BKP 2023 turut diberikan kepada pegawai lantikan MySTEP yang masih berkhidmat pada 10 Ogos dan telah dilantik sebelum 10 Ogos dengan syarat tempoh kontrak telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
Selain itu, guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya serta pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran serta Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman juga layak menerima BKP 2023.
Dalam pada itu surat edaran itu memaklumkan bayaran BKP bagi pesara kerajaan termasuk yang bersara selepas mencapai opsyen umur persaraan atau bersara atas sebab kesihatan, akan dilakukan oleh JPA manakala veteren berpencen dan tidak berpencen dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
"Veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap, sementara serta COS dan masih berkhidmat pada 10 Ogos, layak dibayar RM300 dengan bayaran RM200 oleh JPA atau JHEV dan baki RM100 dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat,” katanya dan menambah pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 10 Ogos tahun ini juga layak diberi BKP RM300.
Bagaimanapun, surat edaran itu memaklumkan bayaran BKP 2023, tidak layak diberikan kepada pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku, dipinjam atau ditukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama atau Gred Khas.
Selain itu, pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib buang kerja atau turun pangkat, ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam serta meletak jawatan dalam tempoh 1 Jan hingga 10 Ogos tahun ini serta pegawai berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan juga tidak layak untuk menerima BKP.
Sementara itu, penangguhan pemberian BKP 2023 akan dikenakan kepada pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBTT).
"Pegawai hanya layak dibayar BKP setelah dibebaskan daripada pertuduhan tatatertib atau dikenakan hukuman selain buang kerja atau diturunkan pangkat oleh PBTT yang berkenaan dan ia akan dibayar pada 10 Ogos juga oleh jabatan di mana pegawai berkhidmat pada tarikh pembayaran.
Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan tahun 2023 yang memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta lebih sejuta pesara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!