Khazan perjelas sebab tinggalkan UMNO

Khazan Che Mat
Khazan Che Mat
A
A
A

KUALA NERUS - Calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat mendedahkan, hala tuju sebenar UMNO yang telah berubah menjadi faktor dirinya meninggalkan parti itu.

Perkara itu didedahkan Khazan ketika berucap di hadapan lebih 100 penyokong sempena Ceramah Pengenalan Calon Pas Parlimen Kuala Nerus di Pekan Batu Enam, di sini pada malam Selasa.

Khazan yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika bersama UMNO berkata, keputusannya meninggalkan parti itu dan kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada awalnya amat berat, namun terpaksa diambil demi kesinambungan Melayu dan Islam.

"Saya berubah (sertai Bersatu) sebab politik UMNO sudah berubah (tidak seperti di awal perjuangan dulu).

"UMNO hari ini tidak seperti UMNO yang dulu. UMNO selepas (Datuk Seri) Najib telah berbeza.

"Kemudian (kepimpinan UMNO) selepas digantikan dengan (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi keadaan (UMNO) lebih teruk," katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak; calon Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid; calon Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim dan Buluh Gading, Ridzuan Hashim.

Sementara itu, Alias ketika berucap dalam majlis sama, meminta semua pihak terutamanya jentera supaya bekerja keras bagi memastikan hasrat untuk menyapu bersih semua kerusi DUN di kawasan Kuala Nerus tercapai.

Katanya, rakyat boleh menilai sendiri pentadbiran negeri di bawah UMNO sebelum ini yang didakwanya banyak melakukan pembaziran.

"Saya harap orang Kuala Nerus cerdik (dalam memilih calon. Kalau (UMNO) kalah di keempat-empat DUN ini (Bukit Tunggal, Seberang Takir, Buluh Gading dan Tepuh), maka UMNO tidak akan jadi kerajaan," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, UMNO hanya berjaya mempertahankan kerusi DUN Seberang Takir yang disandang Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!