Kawasan mercu tanda bukan tempat tayang motosikal kuasa tinggi
APA nak jadi dengan ‘rider kayangan’ hari ini, makin besar dan ‘berkuasa’ motosikal dimiliki, makin cetek pula tahap berfikir mereka.
Merak Jalanan tak kata semua begitu atau nak pukul rata tetapi kerana sikap segelintir mereka inilah menyebabkan yang lain pun terkena tempiasnya.
Baru-baru ini tular di media sosial perangai geng penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menjadikan satu kawasan mercu tanda popular di sebuah lokasi pelancongan sebagai port tayang motosikal masing-masing, yang sepatutnya meninggalkan momen manis kepada pengunjung untuk bergambar kenangan.
Sebenarnya situasi sama boleh dilihat di mana-mana tempat persinggahan menarik yang mempunyai mercu tanda unik.
Jiran Merak Jalanan pun ada berkongsi pengalaman mengenai sikap geng rider kayangan ketika dia bersama keluarganya bercuti di Bukit Fraser, Pahang,
Selepas menempuh perjalanan hampir dua jam dari Lembah Klang, dah tentulah isteri dan anak-anaknya teruja nak bergambar di Menara Jam yang menjadi mercu tanda di situ.
Malangnya, ia dipenuhi dengan pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi yang ditinggalkan di situ, sementara pemiliknya dilihat santai lepak di kedai makan berjam-jam lamanya.
Jiran Merak Jalanan tak ada pilihan, melainkan ambil juga gambar kenangan keluarga di Menara Jam. Datang dari jauh, takkanlah mahu lepas peluang bergambar tetapi terpaksalah bergambar dengan motosikal tersebut.
Disebabkan geram, dia telah berkongsi rasa tak puas hatinya itu di media sosial. Rupa-rupanya sebahagian besar netizen juga melalui pengalaman lebih kurang sama.
Pesanan Merak Jalanan kepada geng rider kayangan, tolonglah bertimbang rasa dan jangan penting diri sendiri.
Kalau dah namanya mercu tanda, mestilah ramai nak bergambar. Jadi, janganlah rampas hak pengunjung. Carilah tempat parkir sesuai untuk tayang motosikal milik anda itu!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!