BAM perlu berani pikul tanggungjawab - Jalani
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dinasihatkan untuk lebih berani mengambil tanggungjawab terutama apabila skuad negara gagal mencapai sasaran ditetapkan badan induk tersebut.
Malah, legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek menggesa BAM supaya tidak dibayangi pandangan netizen terutama apabila pemain berdepan kegagalan dalam sesuatu kejuaraan.
"Janganlah takut apabila netizen bising. Kalau pemain kita kalah, tampil dan berdepan dengan kritikan berkenaan.
"Sukar jika tidak ada persefahaman antara jurulatih dan pengurusan.
"BAM perlu berani untuk pikul tanggungjawab terutama apabila ada pemain kita gagal mencapai apa yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung pemecatan Pengarah Pembangunan Skuad Remaja negara, Datuk Misbun Sidek pada Jumaat lalu, berikutan kegagalan skuad kebangsaan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jogjakarta baru-baru ini.
Pada masa sama, Jalani juga kecewa apabila menyifatkan pembangunan badminton dilakukan BAM semakin ketinggalan jika dibandingkan negara lain terutamanya Jepun dan India.
"Dari segi pembangunan, kita jauh ketinggalan. Mereka (BAM) tak ada nak buat penilaian. Pergi China tengok apa yang mereka buat (untuk pembangunan).
"Sekarang Korea, Jepun dan India sangat bagus. Di India, kelab-kelab mereka kuat. Mereka ada duit untuk pembangunan.
"Kita sekarang ini terlalu takut dengan netizen. Ini apabila netizen kritik terus ambil tindakan buang jurulatih bukan pemain.
"Dari sudut keputusan BAM perlu kaji secara keseluruhan. Ini tidak, belum habis satu perkara, sasaran itu diubah. Mereka (BAM) nak apa sebenarnya," kata bekas pemain beregu negara.
ARTIKEL BERKAITAN:
BAM, Misbun berpisah cara baik
Misbun sedia akur keputusan BAM
BAM pertahan tindakan 'lepaskan' Misbun
Misbun dedah punca ditamat kontrak
Misbun luah rasa terkilan terhadap Norza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!